Sebahagian perwakilan mengaminkan doa pada perasmian serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur malam tadi - Utusan. |
Kebijaksanaan perkongsian kuasa yang
dilakukan oleh UMNO bersama-sama parti komponen Barisan Nasional (BN) telah
memungkinkan Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah
seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun mempunyai lebih banyak bangsa,
kaum dan suku kaum.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebijaksanaan pemimpin BN terdahulu memilih acuan
politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan,
setiakawan dan tolak ansur turut membolehkan negara ini kekal aman, makmur dan
sejahtera.
''Sepanjang lima dekad pemerintahan BN, muafakat yang
dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji
untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini
sentiasa kita pupuk dan disuburkan dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan
Nasional,'' katanya.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian
ketika berucap merasmikan serentak Persidangan Tahunan Wanita, Pemuda dan
Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Dalam ucapan bertemakan, Bersama Melakar Kemenangan,
Muhyiddin yang mengimbas serangan-serangan pembangkang terutamanya Pas dan DAP
terhadap UMNO dan komponen BN menegaskan, kedua-dua parti tersebut berbuat
demikian semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka.
''Pas menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut
orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka. DAP pula menggunakan sentimen
perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC,
Gerakan dan parti-parti lain dalam BN, supaya orang bukan Melayu menyokong
mereka.
''Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang
jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat
berbilang kaum dan agama di negara kita,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, hakikatnya, sejak lebih
lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang
membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, MCA, MIC dan bukan juga
parti-parti komponen BN yang lain.
Sebaliknya, tegas Timbalan Perdana Menteri, ia didalangi
oleh Pas dan DAP, yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman
songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita.
''Pas dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama.
Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah
bertarung sesama sendiri, kini Pas dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan
kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan BN,'' katanya.
Hakikatnya, tegas Muhyiddin watak-watak dan pelakon utama
semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju, sehingga
ke hari ini Pas dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara dan
bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan