Khamis, 1 November 2012

Isu kapal selam, Kerjasama Suaram, syarikat guaman memfitnah PM terbongkar.





Pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa terlibat dalam satu perancangan bersama dengan sebuah syarikat guaman tempatan terkemuka untuk menjatuhkan Kerajaan Pusat yang dipilih secara sah melalui sistem demokrasi oleh rakyat.
Pendedahan kerjasama antara Suaram dengan syarikat guaman dalam satu ‘misi besar’ itu terbongkar selepas sepucuk surat dengan maklumat palsu yang ditulis peguam syarikat terbabit kepada peguam Perancis, didedahkan oleh Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat semalam.

Menerusi surat rasmi yang ditandatangani oleh peguam berkenaan dakwa Choo Keong, syarikat guaman tersebut yang banyak mendapat kontrak guaman dengan syarikat milik kerajaan (GLC) mendakwa Suaram sebagai sebuah pertubuhan yang sah melalui Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) walaupun terbukti tidak berdaftar.
"Ini satu perancangan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan sekarang. Selepas mendapatkan dana asing bernilai puluhan juta, Suaram 'bersekongkol' pula dengan syarikat guaman terkemuka tempatan untuk menjayakan misi yang sama sehingga sanggup menulis surat mengatakan Suaram kononnya pertubuhan yang sah.
"Malang syarikat yang 'bersekongkol' untuk menjatuhkan kerajaan ini mendapat kontrak guaman dengan banyak GLC dan salah satunya adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya semasa sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Ketika ditemui UM selepas sesi perbahasan tersebut, Choo Keong memberitahu, surat yang ditulis dan ditandatangani oleh peguam berkenaan bertujuan untuk menyakinkan peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham dalam usaha Suaram dan syarikat guaman itu mahu mengheret isu pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah.
Katanya, dengan berbuat demikian hasrat kedua-dua pihak itu untuk menarik peguam asing dalam isu kapal selam Scorpene akan berjaya kerana jika Bourdon dan Breham mengetahui Suaram sebenarnya sebuah badan tidak berdaftar, tidak mungkin mana-mana peguam asing mahu terlibat dalam perancangan mereka itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak Majlis Peguam mengambil tindakan ke atas peguam berkenaan kerana bertindak menyalahi kod etika profesional kerana fakwa Choo Keong, pengamal undang-undang itu secara sengaja dan sedar telah menipu fakta sebenar demi kepentngan politik sehingga mencemarkan imej Malaysia.