Selasa, 27 Mac 2012

RM8,000 Bina Stor Dan Tempat Memasak.



SUNGAI LAYAR - Jemaah Surau Al-Ikhwan dan penduduk Kampung Che Bema, Sungai Layar kini boleh menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi menyewa khemah atau risau mengenai lokasi menyimpan barang kerana bakal mempunyai stor dan ruang memasak yang bakal siap tidak lama lagi.

Penaung Surau Al-Ikhwan, Abd Ghani Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata, surau yang pada mulanya dibina menggunakan asas kayu berusia kira-kira 30 tahun, sebelum ini ditimpa bencana ribut pada 2004 yang memusnahkan keseluruhan bahagiannya.

Menurutnya, Ahli Parlimen Merbok ketika itu, Datuk Zainudin Maidin (kini Tan Sri Zainudin Maidin) telah memperuntukkan RM80,000 untuk pembinaan semula surau berkenaan di samping dana dari individu sebanyak RM50,000.

“Pada mulanya, surau ini dibina hasil kutipan derma orang ramai tetapi musnah dalam kejadian ribut pada 2004, dengan sumbangan yang diterima, surau ini dibina semula bagi memberi kemudahan penduduk beribadat selain dijadikan lokasi menganjurkan sebarang majlis,” katanya.

Menurut Pak Tam, sekiranya ingin mengadakan gotong-royong menganjurkan majlis kenduri atau aktiviti kemasyarakatan, penduduk perlu mendirikan khemah bagi menyediakan ruang memasak dibawahnya.Khemah pula terpaksa disewa dengan kos tertentu.

Bagaimanapun, dengan keprihatinan Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain telah membawa khabar gembira kepada penduduk dan jemaah surau tersebut.

Peruntukan sebanyak RM8,000 untuk mendirikan stor menyimpan barang dan ruang memasak telah diluluskan dan kini pembinaan sedang dijalankan.Sebuah khemah untuk kegunaan penduduk juga telah disumbangkan bagi kegunaan penduduk untuk sebarang program dan aktiviti.



*Diterbitkan dengan kerjasama Siti Zubaidah Zakaraya(Sinar Harian)

Tambah Subsidi Petrol...Terima Kasih PM Dan Kerajaan BN!!


Subsidi kerajaan untuk petrol RON95 bagi bulan ini bertambah sebanyak 10 sen kepada RM1.03 seliter berikutan kenaikan harga minyak mentah global semasa bagi memastikan harga runcitnya terus kekal pada paras RM1.90 seliter.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan rakyat tidak dibebani kesan sampingan berikutan kenaikan harga minyak global itu.

“Kerajaan masih mengekalkan subsidi itu kerana kita tahu kalau tidak dikekalkan, harga barangan lain, termasuk yang tidak ada kaitan dengan minyak akan naik sebab apabila kos pengangkutan meningkat, ia akan dimasukkan dalam harga barangan.

“Sebab itulah kerajaan merasakan yang kos sara hidup semakin meningkat, jadi kita kekalkan subsidi dan jika tidak, bukan hanya kos sara hidup akan terus meningkat tetapi juga inflasi,'' katanya pada sidang media selepas berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan kementeriannya di sini, hari ini. - UTUSAN

                                                                                                                                                      

Isnin, 26 Mac 2012

Anak Warga PDRM Terima Netbook.


Sempena sambutan hari polis ke-205, seramai 50 anak-anak warga polis daerah kuala Muda menerima sumbangan netbook 1 Malaysia di bawah program 'Inisiatif Jalur Lebar Nasional' yang disampaikan oleh penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul urus Mat Zain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

Menurut Dato' Hj. Tajul Urus, sumbangan netbook tersebut diperuntukkan khusus untuk warga PDRM bagi menghargai jasa serta pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.


Ahad, 25 Mac 2012

Sejarah Ringkas Polis Diraja Malaysia - Sempena Sambutan Hari Polis Ke - 205.


Sistem kepolisan yang moden dan teratur di negara ini bermula dengan berkuatkuasanya ‘Charter of Justice’ di Pulau Pinang pada 25 Mac 1807. Piagam tersebut menjadi asas kepada peraturan dan undang-undang yang jelas kepada pihak yang dipertanggungjawab menyelenggarakannya dan menandakan bermulanya penubuhan pasukan polis pertama yang moden di negara ini.

Perkembangan politik dan ekonomi di Tanah Melayu telah membawa perubahan pada pasukan polis. Sistem kepolisan di negara ini telah beberapa kali mengalami perubahan sehinggalah membawa kepada penyatuan pentadbirannya di bawah Panji-Panji Polis DiRaja Malaysia pada 16 September 1963. Selepas Tanah Melayu bebas dari pemerintahan Jepun, pada 1 April 1946 Pasukan Polis Negeri-Negeri Selat, Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu telah digabungkan di bawah Pasukan Polis Malayan Union di mana pemerintahan pasukan berpusat di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1948, pihak komunis telah melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan untuk menubuhkan sebuah Republik Komunis di Malaya. Bagi menghadapi ancaman itu, Kerajaan telah mengisytiharkan “Darurat” pada 16 Jun 1948. Semasa perjuangan menentang pengganas komunis selama 12 tahun, seramai 1,246 orang pegawai dan anggota polis telah terkorban serta 1,447 orang lagi cedera. Berpunca daripada tindakan berani anggota polis ini seramai 6,711 orang pengganas telah dihapuskan dan 1,289 lagi berjaya ditawan.

Bagi menghalang orang-orang Asli dipengaruhi oleh anasir komunis, Pasukan Senoi Praaq yang terdiri dari pemuda Orang Asli telah ditubuhkan pada Mei 1956. Sebagai menghargai kerjasama dan jasa yang diberikan oleh Senoi Praaq, pasukan Rejiman ke 22, British Special Air Service (SAS) telah mentauliahkan “Beret Merah” mereka kepada Senoi Praaq. Beret ini masih menjadi kebangaan Senoi Praaq sehingga kini.


Hampir setahun selepas Hari Kemerdekaan, iaitu pada 24 Julai 1958, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Tuanku Abd Rahman Ibni Almarhum Tuanku Mohamad telah berkenan mengurniakan gelaran 'Diraja' kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Upacara ini dijalankan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak, 54100 Kuala Lumpur. Mulai dari saat itu pasukan polis dikenali dengan nama "Polis Diraja Persekutuan" atau "The Royal Federation of Malayan Police".

Pada 11 November 1961, Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong III, Tuanku Syed Putra Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalulail telah berkenan pula menganugerahkan Panji-Panji DiRaja kepada Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu. Pada 16 September 1963, Pasukan Polis di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura telah disatukan dan dikenali dengan nama Polis DiRaja Malaysia dengan diperintah oleh seorang Ketua Polis Negara.

Pada 2 Disember 1989 Perjanjian Damai antara Malaysia, Thailand dan Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditandatangani di Haadyai, Thailand. Dengan termeterainya perjanjian tersebut PKM telah meletakkan senjata dan berakhirlah perjuangan parti tersebut. Pada 17 Oktober 1990 pula Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Biro Ke-2, Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) juga telah ditandatangani di Kuching, Sarawak bagi menamatkan semua kegiatan bersenjata oleh Biro Ke -2 PKKU di Sarawak.


Dengan perletakkan senjata kedua-dua parti komunis tersebut, Malaysia kini bebas daripada ancaman komunis, yang sering menggugat keamanan dan keselamatan negara ini, perhatian kini lebih banyak ditumpukan terhadap isu-isu pembangunan.

Polis Diraja Malaysia kini bergerak selari dengan wawasan kerajaan dengan memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah dan dadah. Di samping itu PDRM juga terlibat dalam usaha mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin, membanteras lanun dan pemeliharaan alam sekitar seperti mencegah pembalakan haram. Pasukan polis juga bertanggungjawab dalam menentukan jalinan mesra dengan orang ramai terus dipelihara agar kerjasama di antara kedua pihak berjalan lancar di samping menonjolkan imej polis sebagai sahabat yang mesra dan bertimbang rasa.

Penutup

Pelbagai onak dan duri besulamkan keringat dan air mata terpaksa dilalui oleh anggota pasukan polis dalam mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan undang-undang demi memastikan keharmonian rakyat pelabagai kaum dan kemakmuran Negara dipertahankan.

Kini, pasukan Polis Diraja Malaysia yang telah menginjak usia dua abad meneruskan kesinambungan usahanya dengan menumpukan perhatian kepada usaha membenteras kegiatan jenayah yang boleh mengancam kesejahteraan umat sejagat.

Selari dengan peredaran masa dan globalisasi, pasukan polis kini telah dilengkapi dengan kemahiran untuk menangani sebarang permasalahan bagi mendukung tugas utamanya, iaitu menjaga ketenteraman Negara dan kesejahteraan rakyat. Sesungguhnya, segala perjuangan dan pengorbanan anggota pasukan polis dalam mencapai dan mengekalkan kemerdekaan akan tetap terus dikenang dan dijulang sebagai wira-wira penegak undang-undang negara.



Sumber Rujukan : Buku ‘Perjuangan PDRM Dalam Mencapai dan Mengekalkan Kemerdekaan Negara’

Dipetik dari mejakerusi.wordpress

Sabtu, 24 Mac 2012

Tabah Hadapi Dugaan.

 "Ibu mana yang tidak sedih melihatkan masa depan anak yang terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, namun atas sokongan keluarga kami tabah dengan ujian ini ".

Kata-kata itu diluahkan oleh ibu kepada Muhammad Fakhrul Mikail, 2, yang menghidap kanser saraf (neuroblastoma) dan perlu menjalani kemoterapi dua minggu sekali di Hospital Pulau Pinang.

Zuraida Abu Bakar, 30, dari Taman Amanjaya Zon Mawar di Sungai Lalang terpaksa berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada anak tunggalnya itu sementara suaminya, Mohd Farid Yusof, 36, sering mengambil cuti bagi menghantar Fakhrul ke hospital.

Menurut Zuraida, ketumbuhan saraf pada Fakhrul dikesan Mei tahun lalu apabila matanya sering bengkak.Selepas habis semua sesi kemoterapi bagi ketumbuhan saraf mata dan buah pinggang pada Oktober 2011, dia kembali aktif namun pada Januari 2012 terdapat satu benjolan di bawah ketiak Fakhrul.

Selepas membuat pemeriksaan, doktor mengesahkan sel kanser telah merebak kembali dan perlu menjalani sesi kimoterapi buat kali kedua.Sepanjang rawatan kemoterapi, Fakhrul menjadi letih, tidak lalu makan dan minum, demam serta cirit-birit.

“kesan kimoterapi sangat kuat sehingga menjadikan tulang Fakhrul rapuh dan dua minggu lalu semasa sedang bermain, dia terjatuh sehingga membuatkan kedua belah kakinya patah”, katanya.

Pada masa ini Fakhrul Mikail mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, namun dengan pendapatan bapanya kira-kira RM800 sebulan, tidak mampu  menanggung perbelanjaan yang semakin meningkat.

Zuraida menjelaskan, mereka memerlukan RM350 sebulan bagi perbelanjaan susu yang disyorkan doktor, RM70 sebulan bagi membeli lampin pakai buang dan kos ulang-alik setiap dua minggu sekali ke Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain yang melawat Fakhrul  bersimpati melihat keadaannya.Beliau berharap orang ramai dapat turut sama memberi bantuan kepada Fakhrul.

Dalam lawatan itu juga beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi serta barangan keperluan harian kepada keluarga tersebut termasuk lampin pakai buang untuk kegunaan Fakhrul.


Turut serta dalam lawatan itu pengawai kebajikan masyarakat daerah Kuala Muda,  En Mohamad Md Nor.

Mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zuraida di talian 019-4271276 atau terus melalui akaun Maybank 152050065164.

Rabu, 21 Mac 2012

200 Pelajar Terima Netbook 1 Malaysia.


MERBOK - Seramai 200 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah dalam parlimen Merbok bertuah apabila menerima sumbangan netbook 1malaysia di majlis penyerahannya oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, semalam.

Selain sumbangan netbook 1malaysia, seramai 120 orang pelajar kurang berkemampuan dari tiga buah sekolah rendah juga turut menerima sumbangan beg serta pakaian sekolah.

Dato' Hj Tajul Urus berkata pemberian netbook ini adalah secara simboliknya menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada perkembangan ICT pada hari ini.Menurutnya perkembangan ICT pada hari ini adalah perkara yang penting kerana dunia hari ini adalah dunia yang tiada sempadan dimana serata pelusuk dunia kini telah disambungkan oleh internet.

Tegasnya, melalui ICT, individu dapat mengakses pelbagai maklumat berkaitan pendidikan, politik dan perniagaan.

"Kita duduk di Malaysia atau di Korea, Amerika ataupun kita tinggal di pekan kecil seperti di Tupah atau di Sungai batu, semuanya telah disatukan melalui jaringan internet malah jika pada masa dahulu buta huruf menjadi ukuran tetapi hari ini buta ICT pula yang menjadi ukuran", katanya.

Beliau juga berkata, pemberian netbook ini merupakan satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Menurutnya Jurang digital ini jika dibiarkan akan menjadi bertambah besar dan akan menyebabkan penduduk luar bandar serta yang kurang berkemampuan akan ketinggalan, kerana itu salah satu usaha kerajaan untuk merapatkan jurang tersebut ialah dengan memberi sumbangan netbook.

Turut hadir pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) wilayah utara, Mohd Hussin Ali serta pengetua SMK Merbok, Hj. Osman Ahmad.



Antara pelajar yang menerima pakaian dan beg sekolah.

Bina Segera Jambatan Gantung.



BUKIT SELAMBAU - Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah telah meluluskan pembinaan sebuah jambatan gantung yang merintangi Sungai Muda disini bagi kemudahan penduduk terutama dari Kampung Jerai Dan Kampung Kuala Sin.

Menurutnya perkara itu merupakan antara perkara yang telah lama disuarakan oleh penduduk terutamanya dari dua kampung berkenaan bagi kemudahan mereka berulang alik menyeberangi sungai untuk ke dusun serta beberapa buah rumah di seberang sungai itu.Menurutnya lagi sekiranya berlaku kematian, penduduk juga terpaksa membawa jenazah melalui Jeniang dan ini dapat dielakkan sekiranya jambatan itu dibina.

“Yang ini saya telah minta supaya Yang Berhormat Menteri dapat meluluskan permohonan penduduk kampung ini dengan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Shafie Apdal untuk program Mesra Rakyat Barisan Nasional Parlimen Merbok Bersama GiatMara di Sekolah Kebangsaan Seri Wangsa, Bukit Selambau, kelmarin.

Menurutnya lagi turut diluluskan serta merta adalah permohonan untuk menurap tar kawasan sekeliling masjid Pokok Machang.

"Masjid ini adalah masjid yang dibina dari kutipan dan sumbangan orang ramai dan saya merasakan adalah wajar untuk kita men'tar'kan kawasan masjid ini," ujarnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmian program itu, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perubahan yang dapat dilihat dinegara ini pada hari ini tiada siapa dapat menafikan.Kawasan kampung yang dahulunya tiada kemudahan dari segi prasarana telah pun berubah suasana serta keadaan sekeliling.

Menurutnya ada hampir 25,000 kampung diseluruh negara, walaupun masih ada kampung yang masih dalam keadaan memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan, namun dengan perancangan yang sedang dilakukan, beliau yakin kampung-kampung ini akan dapat dimajukan.

"Pada hari ini dibawah kepimpinan Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau telah mencetuskan satu pendekatan supaya boleh kita pertingkatkan lagi kerancakan ekonomi, bukan hanya prasarana sampai ketahap yang kita kehendaki, kerana kita sedar dan tahu masih ada lagi kampung-kampung yang memerlukan sokongan dan bukan hanya jambatan dan jalan-jalan raya," katanya.




Ahad, 18 Mac 2012

Bendera BN/UMNO Dibakar Di Semeling !!



SEMELING - Pemuda UMNO Bahagian Merbok hari ini membuat laporan Polis berhubung 14 bendera Barisan Nasional (BN) dan enam bendera UMNO di jalan masuk ke Taman Malinja disini dibakar dipercayai perbuatan khianat penyokong parti pembangkang.

Penyelaras Parlimen yang juga ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain yang melawat tempat kejadian berkata, beliau yakin perbuatan itu dilakukan penyokong parti pembangkang yang menghadiri ceramah politik di taman perumahan itu malam tadi, Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi.

Menurutnya, beliau kesal dengan kejadian membakar bendera itu yang disifatkan bukan cara atau etika masyarakat Malaysia yang mengamalkan demokrasi.

Malah katanya, kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku dalam Parlimen Merbok kerana banyak poster BN yang dipasang, dikoyak pihak tertentu atau ditampal dengan poster pembangkang sebelum ini.

Laporan dibuat Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Anuar Ahmad di balai polis Merbok pukul 11.52 pagi tadi.


Jumaat, 16 Mac 2012

Mencegah Lebih Baik Dari Mengubati - Tajul.



SUNGAI PETANI - Penyakit buah pinggang adalah suatu penyakit merbahaya yang boleh mengancam nyawa. Setakat ini hanya ada 2 cara rawatan sahaja untuk penyakit ini, iaitu dialisis dan juga melakukan pemindahan buah pinggang.Prosedur rawatannya pula memerlukan kos yang sangat tinggi. Oleh itu, jalan yang terbaik ialah dengan mengamalkan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, kerana fakta tersebut, beliau percaya pihak Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan usaha untuk menimbulkan kesedaran kepada orang ramai akan bahaya penyakit buah pinggang dan impaknya kepada pesakit, keluarga, masyarakat dan negara.

"Kementerian perlu mengingatkan orang awam bahawa langkah-langkah pencegahan awal adalah penting dalam membendung gejala penyakit buah pinggang ini", katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di program Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2012 peringkat Negeri Kedah di Taman Jubli Perak di sini.


Beliau sebelum itu menyertai kayuhan basikal amal sejauh 22km yang dianjur oleh Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sempena sambutan itu.

Katanya bagi kebanyakan kes pesakit buah pinggang kronik, mereka tidak menyedari penyakit yang mereka hidapi kerana simptom penyakit buah pinggang biasanya muncul pada peringkat yang lebih teruk.

Sementara itu Pengarah kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat pula memberitahu, seramai 15,078 orang sedang menunggu penderma organ dimana dari jumlah itu seramai 15,055 orang memerlukan penderma buah pinggang.Beliau turut meningatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat bagi mengelakkan penyakit tersebut.Pihak kementerian juga katanya, sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran orang awam dengan mengadakan pelbagai program kesedaran.

Pengerusi National Kidney Foundation, Dato Dr Zaki Morad pula mendedahkan, sambutan terhadap kempen pendermaan organ oleh rakyat di negara ini masih ditahap yang rendah dimana hanya 0.3 setiap sejuta yang berdaftar sebagai penderma organ walaupun statistik penderma organ dari tahun ke tahun menunjukkan peningkatan.

Katanya berdasarkan tinjauan yang telah dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Kesihatan, antara sebabnya adalah keengganan ahli keluarga untuk memberikan kebenaran pemindahan organ atau tisu yang hendak dijalankan. Alasan tertinggi yang diberikan adalah takut, masalah agama serta tidak mahu jenazah mengalami kesakitan setelah kematian.




Selasa, 13 Mac 2012

Penghuni Rumah Seri Kenangan Bedong Terima BR1M.


BEDONG - Seramai 34 warga emas yang tinggal di Rumah Seri Kenangan Bedong (RSKB), disini menerima RM500 wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Hj. Mat Zain di pusat jagaan warga emas itu hari ini.

Difahamkan program khas penyerahan bantuan itu diadakan di RSKB atas permintaan Dato' Hj. Tajul Urus sendiri yang prihatin terhadap keadaan warga emas terbabit serta ingin memberi kemudahan kepada golongan ini.

Shabudin Sapino, 61, tidak dapat menahan kesedihan
semasa menerima BR1M dari Dato' Hj. Tajul Urus.
Penguasa RSKB, Shahrin Nizar Hj.Azudin berkata pada awalnya pihak beliau merancang untuk membawa warga emas terlibat ke pusat penerimaan yang ditetapkan tetapi membatalkan setelah dihubungi Dato' Tajul yang memaklumkan hasrat tersebut.

Ditanya bagaimana wang tersebut akan digunakan oleh warga emas terbabit, beliau menjelaskan ia akan dibelanjakan mengikut kehendak mereka sendiri.

"Kita akan bagi mereka belanja ikut kehendak mereka cuma kita kena jaga kerana ada sesetengahnya tidak berupaya menguruskan sendiri kerana pelbagai masalah seperti nyanyuk dan sebagainya", katanya.



Isnin, 12 Mac 2012

Program Jimat Belanja Dapur..



Pelancaran Program Jimat Belanja Dapur anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) peringkat daerah Kuala Muda disempurna oleh Penyelaras Parlimen Merbok merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan pertanian parlimen merbok Dato' Hj. Tajul Urus Bin Hj. Mat Zain di di pasar tani Sungai Petani kelmarin.

Program Jimat Belanja Dapur bertujuan untuk menangani masalah inflasi di mana harga barangan (makanan) perlu terutamanya hasil pertanian yang semakin meningkat akan dapat dijual dengan harga yang lebih rendah sekurang-kurangnya 20%-30% lebih rendah dari harga pasaran.

Dato' Hj.Tajul Urus berkata, Pasar tani akan dijadikan lokasi utama bagi tujuan itu kerana ramai petani serta peniaga yang terlibat dapat menjual terus hasil pertanian mereka kepada pengguna.

"Selain pengguna mendapat harga yang murah dengan kualiti yang terjamin, peniaga juga akan turut mendapat keuntungan yang lebih dengan peningkatan kualiti jualan yang dilakukan secara terus tanpa orang tengah", katanya.


Sementara itu, pegawai FAMA daerah Kuala Muda, Shuib Yusuf pula berkata, program Jimat Belanja Dapur merupakan salah satu program dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke-7 yang dipertanggungjawabkan kepada FAMA.

Menjelaskan lebih lanjut beliau berkata, pada peringkat permulaan, pihak FAMA sendiri akan  memasarkan hasil-hasil  pertanian terpilih dengan harga lebih rendah dari yang ditetapkan oleh pihak kerajaan (barang kawalan).Menurutnya untuk itu, FAMA akan membawa terus hasil pertanian dari Cameron Highland serta mengimport sendiri dari pembekal di negara jiran.Peserta pasar tani juga katanya telah mula menunjukkan minat yang positif untuk menyertai program ini.




Ahad, 11 Mac 2012

Masjid Baru RM1.8 Juta Dibina Di Sungkup Para.


BUKIT SELAMBAU - Penduduk Kampung Sungkup disini yang selama ini terpaksa bersesak di sebuah surau akan dapat menunaikan ibadah dengan lebih selesa apabila siapnya sebuah masjid di Kampung itu pada pertengahan tahun depan.

Masjid baru itu yang dibina dengan kos RM1.8 juta daripada peruntukkan kerajaan pusat, mampu menampung sehingga 1,500 jemaah dalam satu-satu masa.

Majlis Serah Surat Setuju Terima Tender projek pembinaan masjid berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Negeri Kedah Datuk Azmi Lateh, Penyelaras Parlimen Merbok Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain, bekas ADUN Tanjung Dawai Datuk Arzmi Abdul Hamid dan pemimpin masyarakat setempat.

Ahmad Bashah berkata pembinaan masjid itu dijangka siap pada bulan Jun tahun hadapan.

"Insyaallah pada tahun hadapan jemaah disini dan kawasan sekitar akan dapat menunaikan solat Jumaat dan solat hari raya di masjid baru ini",

"Ini merupakan satu lagi sumbangan kerajaan persekutuan dalam memberi keselesaan kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata sepanjang tahun lepas kerajaan persekutuan telah memberi peruntukkan sebanyak RM30 juta bagi projek mempertingkatkan syiar agama Islam di Kedah termasuk pembinaan sembilan masjid baru, menaik taraf 24 masjid dan puluhan surau juga telah diperbaiki.Selain itu RM24 juta turut diperuntukkan bagi pembayaran pelbagai jenis elaun termasuk kepada imam dan pegawai masjid.




Tiga Dari 10 Lelaki Di Malaysia Gay??


Ancaman lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kini menjadi barah dalam masyarakat apabila penukaran budaya songsang itu meningkat mendadak khususnya khususnya dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi.Perkara itu didedahkan kaunselor berdaftar, hushim salleh yang telah mengendali dan memberi terapi kepada lebih 1000 golongan LGBT yang kembali kepangkal jalan sejak 20 tahun lalu.
Paling Mengejutkan berdasarkan kajian beliau hasil pengakuan bekas-bekas golongan LGBT, daripada 10 lelaki dinegara ini tiga adalah gay.

"Mereka ini golongan split identity (Pelbagai identiti)iaitu sebelah pagi dia boleh jadi imam kemudian tengah hari dia boleh meliwat orang".

Gambar sekadar hiasan hehehe...

Sabtu, 10 Mac 2012

Tolak Fitnah, Sokong Datuk Najib - Tajul.






"Barisan Nasional telah mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu, makmur dan maju".

Dato’ Hj. Tajul urus Mat Zain berkata, negara yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 ini telah membangun dengan pesat dan kita menuju tahun 2020 untuk menjadi Negara maju.

Beliau berucap pada program 'pentarama' Jabatan Penerangan yang diadakan di Pekan Bukit Selambau malam tadi.Program berbentuk hiburan bermaklumat itu dihadiri kira-kira 800 pengunjung.

Menurutnya atas usaha dan juga kepimpinan Barisan Nasional, telah meletakkan Malaysia antara negara yang maju dan terus maju di kacamata dunia pada hari ini.Ini telah menyebabkan ada pihak yang cemburu  lalu cuba menjatuhkan negara ini dengan pelbagai cara antaranya menaja pergerakan beberapa NGO serta parti politik tertentu. 

"Saya ingin mengingatkan bahawa musuh bagi rakyat Malaysia bukanlah kaum 
Cina, India ataupun Melayu, musuh kita ialah negara-negara asing yang mahu melihat negara ini hancur dan berpecah belah untuk mereka mengambil manfaat seperti yang berlaku dinegara-negara seperti Iraq, Libya dan sebagainya",katanya.




Beliau juga berkata, pada hari ini, kita lebih beruntung kerana mendapat seorang perdana menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Abd  Razak, yang bekerja tanpa penat lelah untuk membangunkan Malaysia.

"Dan kita mesti ingat bahawa tidak sepanjang masa kita akan mendapat Perdana Menteri yang baik, yang bertanggungjawab seperti Datuk Najib, 


atas tanda kesyukuran dan penghormatan, rakyat harus memberikan sokongan kepada beliau", katanya.




Beliau turut meminta setiap lapisan rakyat, supaya bersatu hati menolak fitnah pembangkang serta memberi sokongan kepada YAB Perdana Menteri.

Beliau berkata, musuh utama rakyat pada hari ini ialah fitnah yang dilemparkan pembangkang terhadap kerajaan.Menurutnya, betapa baik sekalipun usaha yang dilakukan kerajaan BN, pembangkang akan tetap menghasut rakyat dengan mengatakan ia tidak baik.

"Kerana itu katanya, rakyat Malaysia mesti tahu memikirkan antara perkara-perkara yang baik yang dibuat oleh kerajaan dengan fitnah yang dibuat oleh pembangkang.






Pengunjung tetap setia walaupun hujan turun beberapa ketika.



Khamis, 8 Mac 2012

RM900 Dilulus Serta Merta.

BUKIT SELAMBAU - Nasib pesakit barah, Aminah Sarip dari Kampung Belakang Masjid disini bersama ibu serta kakaknya yang disiarkan sebelum ini, hari ini mendapat pembelaan apabila bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mereka diluluskan serta merta.


Selain ibunya Zainah Osman, 80, yang lumpuh sebelah badan selepas diserang angin ahmar, Aminah, 46, menghidap barah otak manakala kakaknya, Azizah sarip, 55 pula menghidap penyakit buah pinggang tahap kritikal yang memerlukan beliau menjalani rawatan dialisis 3 kali seminggu.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, beliau mendapat maklumat berkenaan keluarga ini dari pengerusi JKKKP Kampung Bukit Selambau, Hj Saad Puteh yang seterusnya membawa beliau melawat keluarga itu beberapa hari lalu.

Beliau berkata, dalam lawatan terdahulu beliau telah berjanji kepada mereka untuk mendapatkan bantuan seberapa segera bagi membantu meringankan beban yang terpaksa ditanggung keluarga ini.

"Hari ini saya telah tunaikan janji saya itu dan membawa bersama pegawai dari JKM bagi menguruskan bantuan kebajikan kepada mereka", katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat keluarga itu bersama pegawai kebajikan masyarakat daerah Kuala Muda, En.Mohammad Md Nor dirumah mereka disini.

Mohamad pula berkata, bantuan RM900 diluluskan serta merta yang mana setiap dari mereka akan mendapat RM300 setiap bulan bermula bulan Mac.

Turut hadir Penyelaras DUN Bukit Selambau, M.L Maran serta Ketua wanita UMNO Bahagian Merbok, Hapsoh Ahmad.