Sabtu, 7 Januari 2012

15,000 anggota tentera LLP digalak miliki SPM.



Anggota lain-lain pangkat (LLP) dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum memiliki kelayakan akademik digalakkan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam tempoh enam tahun, bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, langkah itu bagi membolehkan mereka menikmati taraf gaji dan imbuhan baru sejajar dengan keperluan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM yang dilaksanakan mulai bulan ini.

Selain itu, katanya, syarat tersebut juga penting bagi memastikan ATM mencapai tahap profesionalisme seiring dengan keperluan pertahanan negara masa kini.

“Dahulunya untuk menjadi LLP dalam ATM, kita boleh terima kelulusan darjah enam, Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR) asalkan boleh membaca dan menulis.

‘‘Namun, sekarang syaratnya berubah kerana pemohon mesti ada SPM dengan kredit mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Matematik serta lulus Bahasa Inggeris.

“Sama juga dengan anggota LLP sedia ada seramai 15,000 orang yang belum miliki SPM. Kita berikan tempoh enam tahun untuk mereka berbuat demikian. Ini selaras dengan keperluan pertahanan negara yang memerlukan anggota lebih profesional. Bila ada SPM, sudah tentu anggota tentera berkenaan akan menikmati perubahan gaji lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Sesi Dialog SBPA ATM bersama pegawai dan anggota tentera di Markas Staf Stesen, Kem Lapangan Terbang, di sini hari ini.


Turut hadir Penyelaras Parlimen Merbok, Dato'  Hj.Tajul Urus Mat Zain, Panglima Dua Division Kem Tun Razak Bayan Lepas, Mejar Jeneral Datuk Azizan Md. Delin serta Panglima Briged Keenam Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Md. Tajri Alwi.

Abdul Latiff berkata, mana-mana anggota LLP sedia ada yang memiliki kelayakan SPM lebih awal daripada tempoh enam tahun akan diberikan kenaikan gaji baru seperti termaktub dalam SBPA ATM.

Sementara anggota yang belum memiliki kelayakan itu pula, katanya, akan diletakkan di bawah skim Khas Untuk Penyandang (KUP) ATM.

“Memang tiada tindakan atau menamatkan perkhidmatan dikenakan jika mereka tidak lulus SPM, namun, jika mereka ada SPM lebih awal ia lebih menguntungkan kerana boleh menikmati gaji baru.

“Sementara yang tidak mahu memiliki atau lulus SPM atau tidak dinaikkan pangkat ke lans koperal, mereka perlu menunggu untuk tempoh lebih lama iaitu enam tahun untuk menikmati gaji baru setanding SBPA ATM,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, semua anggota ATM telah bersetuju menandatangani opsyen SBPA ATM bermula 16 Disember lalu.

Katanya, skim baru itu dianggap kompetetif kerana menawarkan upah dan gaji yang tertinggi sejajar dengan Model Baru Ekonomi (MBE).

“Pelarasan kadar upah dan gaji ini dibuat berasaskan peruntukan Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut perkhidmatan tentera lebih kanan daripada polis dan lebih kanan daripada perkidmatan awam lain,” jelasnya.

Tiada ulasan: