Pas tidak boleh dianggap sebagai sebuah
agama yang bersifat maksum, sebaliknya ia hanyalah parti politik yang tidak
dapat lari daripada melakukan kesalahan.
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali berkata,
sesetengah pihak yang taksub di dalam Pas sengaja menyamakan parti itu sebagai
sebuah agama supaya ia dapat diletakkan dalam jajaran hati manusia.
Beliau berkata, dengan cara itu ia akan membuatkan
pengikutnya bersikap fanatik serta takut untuk berbeza pendapat dengan pemimpin
mereka kerana khuatir tindakan itu boleh membuatkannya terkeluar daripada
agama.
“Pas hanyalah sebuah parti politik dan dakwaan yang
mengatakan Pas setaraf dengan agama hanyalah sebagai usaha menjadikan
pengikutnya sebagai fanatik kepada parti dan sekali gus takut untuk berbeza
pendapat dengan ketua mereka kerana bimbang akan terkeluar daripada ajaran
agama Islam.
“Ini tidak betul dan sekiranya kita selidik secara mendalam
doktrin seperti ini boleh merosakkan akidah umat Islam,” katanya ketika berucap
pada program Bicara Memurnikan Akidah Ummah di Dewan Majlis Perbandaran Klang,
Meru, di sini malam tadi.
Selain Hasan, turut menjadi panel pada program itu ialah
bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohd. dan Exco Biro Dakwah
Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mukram Mohd. Taib.
Hasan memberitahu, sebab utama beliau menyertai Pas pada 15
tahun yang lalu adalah kerana parti itu majoritinya dipimpin oleh barisan ulama
yang merupakan pejuang Islam tulen.
“Namun pada hari ini hanya tinggal 23 peratus pemimpin di
dalam Pas yang merupakan golongan ulama.
“Sebanyak 72.28 peratus lagi pemimpin di dalam Pas bukan
daripada golongan ulama dan mereka itulah yang merupakan ‘parasit-parasit’ yang
merosakkan parti itu pada hari ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, Hasan Basri menyelar pihak yang mengangkat
perjuangan komunis dan menghina pejuang kemerdekaan, meskipun mereka
bermati-matian berjuang untuk memerdekakan negara yang kesannya dapat dinikmati
sehingga hari ini.
“Saya nak tanya, apakah Leftenan Adnan yang terbukti sanggup
bergadai nyawa demi agama, bangsa dan negara juga mereka anggap sebagai
pengkhianat negara,” soalnya.
- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan