Isnin, 30 Januari 2012

Tidak akan Pindah, Kekal Disini - Dato' Tajul.


"Tidak akan pindah kemana-mana sehingga pihak KEMAS mengadakan bangunan sekolah tadika sendiri.Selagi KEMAS tidak buat bangunan sendiri, pelajar-pelajar ini akan terus belajar di dewan UMNO ini, kekal disini".

Demikian pendirian yang ditegaskan oleh Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkenaan isu pelajar tadika KEMAS Taman Peruda yang kononnya diarah keluar dari Dewan UMNO disini.

Isu tersebut yang hangat diperkatakan sejak 3 minggu lalu, berjaya diselesaikan dengan baik setelah Dato' Hj. Tajul Urus campur tangan bagi menyelesaikan kemelut itu.

Bercakap kepada media, beliau berkata, pada asalnya kelas tadika ini hanya menumpang di dewan persatuan kebajikan penduduk Taman Peruda yang agak sempit, namun sejak 2 tahun lalu tadika tersebut telah dipindahkan ke dewan UMNO yang lebih selesa.Oleh kerana permintaan untuk masuk tadika ini semakin meningkat dan berlaku kesesakan, timbul cadangan untuk memindahkan sebahagian pelajar ke tempat lain.Tadika ini yang mengambil pelajar yang berumur 5 dan 6 tahun dikatakan merancang untuk memindahkan murid berumur 5 tahun ke tempat lain.

     

Berikutan cadangan yang tidak rasmi itu, ada pihak tertentu telah menjadikannya sebagai satu isu kononnya UMNO mahu mengambil balik dewan tersebut untuk kegunaan pilihanraya.

"Sebenarnya isu itu tidak timbul langsung dan saya telah berunding dengan pihak UMNO, cakap-cakap yang kata UMNO nak ambil balik itu langsung tidak timbul,"

"Jadi kerana itu hari ini saya datang bersama dengan waris-waris untuk menjelaskan bahawa tidak ada cadangan dari pihak UMNO memindahkan anak-anak di tadika ini ke tempat yang lain,"jelasnya.

Menurutnya lagi, cadangan tidak rasmi untuk mengasingkan pelajar 6 tahun dan 5 tahun itu memang ada tetapi itu setakat perbincangan.

"Saya telah datang pada hari ini untuk melihat situasi sebenarnya dan saya juga bersetuju untuk memberi bantuan bagi membaiki pintu, membuat jeriji besi pada tingkap, dan di waktu yang sama kita akan cuba menggunakan ruang di depan ini untuk menampung kesesakan anak-anak kita yang belajar disini," katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Taman Peruda, merangkap pengerusi tadika Taman Peruda, Hj. Wan Abdullah Wan Yusuf dalam nada sama berkata pihaknya tidak pernah bercadang untuk mengeluarkan pelajar-pelajar tadika ini ke tempat yang lain.

"Kami merasakan perkara ini hanya diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu untuk memburukkan nama UMNO, itu saja,"

"Perkara yang timbul ini saya sendiri pun tak faham dari mana mereka dapat dan perkara ini telah pun dihebohkan di dalam masyarakat kita sekeliling ini yang mengatakan UMNO telah cuba mengeluarkan murid-murid tadika ini ke tempat lain," ujarnya.

Tiada ulasan: