Jumaat, 27 Januari 2012

Kerajaan Pas Tidak Serius Tarik Pelabur Ke Kedah.


Kerajaan Pusat mungkin mengambil alih tugas mempromosi negeri ini kepada pelabur luar dan tempatan kerana Kerajaan Pas Kedah didapati tidak serius melakukan usaha bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, ini kerana jumlah kelulusan untuk projek-projek perkilangan bagi negeri Kedah dari Januari sehingga November tahun lalu didapati mencatatkan penurunan.

"Dari Januari sehingga November tahun lalu, jumlah kelulusan untuk projek perkilangan pelaburan asing dan tempatan di Kedah hanya RM1.577 bilion berbanding RM1.96 bilion pada 2010.

"Pada 2010 juga Kedah berada pada tangga ketujuh dari segi kelulusan projek perkilangan namun pada 2011, Kedah berada di tangga kelapan walaupun negeri ini mempunyai sebuah taman teknologi tinggi iaitu Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) dan saya rasa kerajaan negeri gagal menjalankan tugas mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersama usahawan dan pengeksport di Hotel Holiday Villa di sini hari ini.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga Oktober 2011, antara pelabur asing terbesar di negeri ini ialah Sony EMCS (M) Sdn. Bhd. yang terlibat dalam sektor elektrik dan elektronik dengan nilai pelaburan semula sebanyak RM200 juta.

Selain itu, katanya, Nichias FGS Sdn. Bhd. juga menjadi pelabur asing kedua terbesar di negeri ini dengan pelaburan semula RM143 juta dan Celestica (M) Sdn. Bhd. dengan pelaburan semula RM130 juta.

Jelas Mukhriz, pihaknya akan terus menjalankan usaha dan promosi untuk menjadikan negeri ini sebagai salah satu negeri yang menjadi tumpuan pelabur.

"Sekarang ini antara negeri yang menjadi tumpuan pelabur ialah Sarawak, Selangor, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

"Antara faktor yang menjadi penarik pelabur untuk melabur di sesebuah negeri ialah kemudahan prasarana yang baik dan sumber manusia yang mudah diperoleh. Saya yakin negeri ini akan menjadi tumpuan pelabur jika kemudahan prasarana itu dibaiki," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta para pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini untuk mendaftar dengan Matrade bagi membolehkan mereka mendapat manfaat serta bantuan berkaitan.

"Banyak pengusaha yang belum mendaftar dengan Matrade, jadi kita minta mereka daftar segera agar kami boleh membantu membawa produk mereka menembusi pasaran luar negara," tambahnya.

Tiada ulasan: