Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri
Zainuddin Maidin menyeru para pengundi Merbok, kawasan Parlimen yang pernah
diwakilinya supaya memilih parti dan bukan memilih calon dalam pilihan raya
akan datang demi untuk mengembalikan kuasa dua pertiga kepada Barisan Nasional
(BN).
Zainuddin yang juga lebih mesra dipanggil Zam menyatakan
bahawa beliau hanya menyampaikan amanat yang diberikan oleh bekas Perdana
Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pertemuan baru-baru ini yang juga boleh
diaplikasikan di lain-lain kawasan".
''Bagi saya sendiri jika dikehendaki, saya akan pergi
membantu sesiapa juga calon yang akan diletakkan bertanding di kawasan Merbok,
walaupun mungkin calon itu tidak disenangi oleh saya. Ini kerana 'membunuh'
calon ini bererti akan mengorbankan parti dan kepentingan agama, bangsa dan negara.
''Sekiranya sikap ini ditanam dalam hati semua penyokong BN
dari sekarang, sama ada di dalam parti atau di luar parti, maka calon BN akan
mencapai kemenangan. Namun saya juga berharap Presiden BN juga mestilah
mengambil tindakan disiplin yang tegas dan pantas terhadap calon tidak terpilih
yang menentang keputusan parti,'' katanya.
Dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia di sini, Zainuddin
meminta orang ramai atau ahli parti jangan terbawa-bawa dalam arus persaingan
parti atau bahagian untuk menjadi calon dalam kawasan Merbok.
Ini adalah persengketaan dalam cawan sebaliknya apabila
Perdana Menteri telah membuat pemilihan semua ahli mestilah memberikan undi
kepada calon itu.
Menurut Zainuddin, dalam pilihan raya lalu majoriti pengundi
telah memberikan undi kepada calon pembangkang yang tidak pun diketahui latar
belakang mereka.
''Saya percaya pengundi-pengundi Merbok memang mempunyai
sikap yang bijaksana. Umpamanya semasa saya bertanding sebagai calon payung
terjun, sekalipun saya bukan Ketua Bahagian atau ahli UMNO Bahagian Merbok,
para pengundi Merbok telah memberikan kemenangan besar kepada saya pada tahun
2004.
''Peradaban tinggi dan mulia orang Merbok yang terbukti dari
kebijaksanaan dan kesetiaan mereka sekian lama dalam pilihan raya hendaklah
diulangi dalam pilihan raya kali ini,'' katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan