Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada
sambutan Thaipusam di Batu Caves, baru-baru ini tidak menyalahi hukum syarak,
kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Beliau berkata, sebagai seorang pemimpin, tidak salah untuk
Perdana Menteri bersama-sama dengan kaum lain dalam perkara yang berkaitan
dengan adat.
"Sekiranya tiada niat untuk merayakan atau reda dengan
perbuatan agama lain tidak mengapa, tetapi kalau sama-sama merayakan baru tidak
boleh," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Profesionalisme
Penceramah Agama UMNO Bahagian Pekan 2012 oleh Perdana Menteri di sini hari
ini.
Harussani yang hadir pada seminar itu berkata, Perdana
Menteri memaklumkan kepadanya bahawa beliau hanya berada di dewan untuk
menerangkan polisi kerajaan dan tidak terbabit dengan perarakan keagamaan dan
tidak masuk ke dalam kuil atau dalam gua Batu Caves.
Mufti Perak itu sebelum ini dipetik sebagai berkata orang
Islam yang merestui dan turut serta dalam upacara keagamaan lain melakukan
perbuatan syirik.
Mengenai Najib yang memakai Kurta iaitu pakaian tradisional
kaum India pada sambutan itu, beliau berkata, ia hanya budaya sahaja kerana
orang Islam di India pun memakai pakaian yang sama. Oleh yang demikian, Mufti
Perak itu menasihatkan pihak yang cuba memutarbelitkan isu kehadiran Najib pada
sambutan Thaipusam itu supaya menghentikannya kerana mereka membuat tuduhan
tanpa usul periksa sehingga boleh menjadi fitnah.
"Masalahnya dalam keadaan sekarang orang Melayu
berpecah, masing-masing mencari peluang untuk menghentam orang lain terutamanya
menghentam sesama bangsa, pantang silap sikit.
"Saya harap semua orang kita (Melayu) balik pada asal,
balik pada musyawarah...soal politik berbeza itu bukan menjadi masalah,"
katanya.
Sebaliknya, Harussani lebih kecewa dengan tindakan Pas di
Perak semasa majlis sambutan Thaipusam dengan mengadakan gerai dan khemah serta
mengibarkan bendera Pas seolah-olah menyokong dan reda dengan orang yang
melakukan kufur. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan