Ahad, 5 Februari 2012

Maulidur Rasul S.A.W 1433/2012M.



"Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya".
-surah al-Maidah ayat 15

"Maka orang-orang yang beriman kepadanya (Muhammad), dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya".
-Surah al A’raf ayat 157

Di dalam ayat diatas dengan jelas menyatakan bahawa orang yang memuliakan Rasulullah SAW adalah orang yang beruntung dan meraikankan Maulidur Rasul termasuk dalam rangka memuliakannya.

Sambutan Maulidur Rasul adalah untuk mengembalikan ingatan kita terhadap junjungan besar kita Muhammad Rasulullah SAW dan menambahkan lagi perasaan cinta kasih kepadanya serta mengenang, menghargai serta mengambil iktibar kisah suka duka perjuangannya. Walaupun sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu adat sahaja tapi ia adalah adat yang bersifat ibadah dan wajar diteruskan.

Menurut sejarah, Maulidur Rasul pertama kali disambut secara kecil-kecilan oleh sekelompok ahlul bait di Mekah Al Mukarammah semasa zaman pemerintahan khalifah Abassiyah, Muhammad Ibnu Mansur Al Mahdi pada abad ke 8M. Kemudian pada abad ke 12M, ia telah diperkenalkan dan disambut secara besar-besaran oleh Gabenor Irbil di Iraq, Al Mudzaffar Abu Sa’id al-Qakburi semasa pemerintahan Sultan Salahuddin Al Ayubi (1138-1193M). Sambutan tersebut bertujuan mengumpulkan dan menyatukan kaum muslimin bagi menaikkan semangat jihad mereka menghadapi angkatan perang salib dan merampas kembali Jurusalem dari tangan mereka. Meskipun terdapat ulama dari aliran Wahabbi dan Salaffi menganggap sambutan Maulidur Rasul sebagai bida’ah, namun kebanyakkan ulama menganggapnya sebagai satu bentuk sambutan yang bertujuan melahirkan rasa kecintaan kepada Rasul.

Semoga kita dapat berusaha memahami ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang menekankan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, penguasaan ilmu pengetahuan, kehidupan berqualiti 'hasanah fi addunya wa hasanah fi al-akhirat' dan penghayatan nilai-nilai murni serta akhlak terpuji. Umat Islam wajib mengamalkannya secara betul dan bersungguh-sungguh, bersedia dengan pelbagai kekuatan dan sentiasa cekal menempuh apa jua cabaran.Sesungguhnya cabaran bagi umat Islam di Malaysia amat besar, dan kita tidak boleh leka dalam menghadapi cabaran tersebut.Mudah-mudahan kita akan dirahmati dan diberkati Allah SWT.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1433H/2012M.




Tiada ulasan: