Isnin, 13 Februari 2012

Tinggal Sehelai Sepinggang.


SIDAM KIRI - Sebuah keluarga di kampung Kuala Sedim, dekat sini hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, Adnan Mohamad, 60, bersama isteri Zainab Md Isa, 57 serta 3 ahli keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kebakaran itu memusnahkan hampir keseluruhan kediaman mereka.

Adnan berkata, semasa kejadian dia bersama isteri berada di majlis perkahwinan dikawasan berhampiran. Menurutnya dia hanya mengetahui tentang kejadian itu melalui seorang jiran yang datang memberitahunya di majlis berkenaan.

"Saya terkejut dengan kejadian ini tetapi bersyukur kerana anak-anak saya terselamat dalam kejadian ini,” katanya.

Anak pasangan itu yang juga seorang wanita kelainan upaya (OKU) Faezah Adnan, 35, segera mengejutkan  adik serta 2 anak saudaranya yang sedang tidur untuk menyelamatkan diri.Dia yang hanya mampu bergerak dengan menggunakan dua tongkat memberitahu, hanya tersedar rumahnya terbakar setelah terpandang bumbung rumahnya sedang dijilat api yang sudah marak.Mereka kemudiannya keluar menyelamatkan diri tanpa dapat membawa keluar apa-apa barang.

Sementara itu, Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Nadzmee Syam Ahmad Jamil berkata bomba menerima panggilan kira-kira pukul 9.15 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Katanya, 20 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran dapat dipadamkan dalam masa setengah jam dengan bantuan 10 anggota sukarela dari unit bomba sukarela Sungai Petani.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain yang melawat tempat kejadian sebaik dimaklum berkata, sebagai tindakan segera,beliau akan menghantar barangan keperluan harian  untuk tempoh seminggu bagi meringankan beban mangsa.


Berkenaan rumah pula katanya, beliau akan merujuk perkara itu kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa tindakan lanjut.

"Kita akan merujuk perkara ini kepada kerajaan' negeri kebajikan' terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan,"

"Jika sekiranya mereka tidak membantu maka ketika itu saya akan melakukan  perkara yang perlu bagi membantu keluarga ini,"katanya.

Tiada ulasan: