Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata,
berdasarkan pemerhatian pihaknya, lebih 80 peratus masyarakat India kembali
yakin dengan parti itu selepas kejayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak melaksanakan transformasi politik secara menyeluruh.
"Rakyat menerima baik dasar kerajaan seperti Gagasan
1Malaysia dan transformasi politik serta sosioekonomi yang tidak meminggirkan
mana-mana kaum.
"Malah, masyarakat India di negeri ini amnya telah
memberikan sokongan yang amat baik kepada BN sejak akhir-akhir ini,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan perayaan
Thaipusam peringkat negeri Kedah di Kuil Subramaniya Devasthanam, Jalan Kuala
Ketil, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi MIC negeri, S. Ananthan;
Pengerusi MCA negeri, Dato' Chong Itt Chew dan Penyelaras Parlimen Merbok,
Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain.
Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri yakin BN akan dapat menawan kembali Kedah daripada pakatan pembangkang
dalam pilihan raya umum akan datang.
Ditanya tentang persiapan BN negeri menghadapi pilihan raya
umum, beliau memberitahu, pihaknya telah membuat persiapan sejak awal lagi.
Katanya, antara pendekatan yang diambil adalah menggerakkan
program secara bersama melibatkan semua parti komponen.
"Di samping itu, para pemimpin kita turut turun padang
bagi mendekati masyarakat. Dari segi jentera pula, kita memang sudah bersiap
sedia malah, sesetengahnya sudah digerakkan," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah memberitahu,
Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melawat Kedah
dalam tempoh terdekat.
Katanya, Muhyiddin dijadual mengadakan pertemuan dengan
mereka pada 14 Februari ini sementara Najib pula pada 25 Februari.
"Kedua-dua pemimpin ini akan turun ke Kedah untuk
memantau persiapan di samping bertemu mesra dengan rakyat. Ini mencerminkan
kesungguhan BN untuk membawa pembaharuan di Kedah,'' katanya.
- Utusan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan