Ahad, 19 Februari 2012

Masyarakat Cina Sedar Sumbangan Dan Peranan MCA.


PUTRAJAYA 19 Feb. - Debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam ternyata menyedarkan masyarakat Cina mengenai sumbangan dan keprihatinan MCA terhadap masyarakat kedua terbesar di negara ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penampilan dan hujah-hujah Dr. Chua jauh lebih meyakinkan masyarakat Cina dengan peranan MCA dengan BN terhadap pembangunan masyarakat Cina tanpa mengkritik atau menyalahkan pembangkang seperti yang dilakukan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Daripada maklum balas yang kita terima, masyarakat Cina tiba-tiba bangkit dan sedar bahawa MCA telah melakukan agak banyak untuk masyarakat Cina di negara ini dan kita telah bekerjasama.

"Saya ingin tekankan lagi, perlu ingat bahawa BN apa sahaja yang kita putuskan adalah konsensus, tidak ada tindas menindas oleh mana-mana parti sama ada yang parti kecil atau parti besar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Debat dalam bahasa Mandarin bertajuk “Adakah Sistem Dua Parti Menjadi Sistem Dua Bangsa?” itu diadakan di Berjaya Times Square sebagai sebahagian daripada Forum mengenai bangsa Cina Malaysia di Persimpangan Politik.

Ia dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Tang Ah Chai dan disiarkan secara langsung oleh Astro.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, sokongan masyarakat Cina terhadap BN juga meningkat seperti masyarakat Melayu dan India selepas menyedari bahawa hanya BN mampu menjamin kebajikan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.

- BERNAMA

Tiada ulasan: