Kepimpinan Kerajaan Pas Kedah sekali lagi berhadapan dengan
krisis apabila sekurang-kurangnya empat Exco parti itu dikatakan enggan hadir
pada majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pada 28 Februari
ini.
Empat Exco yang dikaitkan ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi,
Dr. Ismail Salleh, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib dan seorang lagi Exco yang
tidak didedahkan identitinya.
Krisis terbaru itu dijangka meletakkan Menteri Besar, Datuk
Seri Azizan Abdul Razak dalam dilema memandangkan tindakan berkenaan dikaitkan
dengan usaha memberi tekanan kepada beliau untuk meletakkan jawatan.
Sejak September tahun lalu, Azizan menghadapi pelbagai
tekanan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas alasan beliau tidak
mempunyai keupayaan mentadbir Kedah dan menghadapi masalah kesihatan.
Sementara itu, satu sumber mendedahkan sekurang-kurangnya
empat anggota Exco sudah mengosongkan bilik masing-masing dan seorang
daripadanya dilaporkan sudah sah menghantar surat peletakan jawatan kepada
Azizan.
Sumber itu mendakwa, kesemua mereka bertindak demikian
sebagai bantahan kepada gaya pentadbiran Azizan yang dikatakan tidak efisien.
Krisis terbaru politik Kedah itu bermula apabila tersebar
khabar angin terdapat tiga Exco negeri berkenaan telah menghantar surat kepada
Azizan menyatakan mereka tidak mahu dilantik semula ke jawatan tersebut dan
salinannya dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sumber memberitahu, langkah yang dibuat oleh mereka
bertujuan memberi tekanan kepada Azizan supaya tidak bertanding pada pilihan
raya umum akan datang.
Tindakan itu sekali gus akan membolehkan Azizan tidak
dilantik semula ke jawatan tersebut jika pakatan pembangkang terus memerintah
Kedah.
Sementara itu, Exco yang terlibat ketika dihubungi Utusan
Malaysia tidak mengesahkan atau menafikan sama ada mereka akan menghadiri
majlis pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 28 Februari ini.
Dua daripada empat Exco yang dikatakan terlibat seolah-olah
berdolak-dalik dalam memberikan pengesahan.
Phahrolrazi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan,
Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga
berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan tetapi jika perlu,
satu sidang akhbar berhubung perkara tersebut akan diadakannya dalam tempoh
terdekat.
"Bagi buah masak cukup dahulu, baru boleh buat
kenyataan," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah.
Sementara itu, Dr. Ismail juga enggan membuat sebarang
kenyataan dengan mendakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut.
Ditanya sama ada beliau telah menghantar surat tidak mahu
dilantik semula sebagai Exco, Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan
(NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi
negeri itu berkata: "Tanya MB (Menteri Besar), beliau tahulah kot. Saya
tidak tahu apa-apa, jadi tak mahu kata apa-apa lagi."
Dr. Hamdan yang memegang portfolio Belia dan Sukan, Kesenian
dan Warisan serta Kebudayaan negeri pula gagal dihubungi.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul
Hadi Awang menegaskan, Azizan selaku Menteri Besar berhak untuk melantik atau
menggugurkan mana-mana Exco kerana ia proses biasa dalam pentadbiran.
"Hak negeri untuk pilih siapa yang layak. Lantik orang
baru atau gugur juga perkara biasa," katanya ketika ditemui pemberita
selepas merasmikan Karnival Kedah Sejahtera di Kompleks Pas Pokok Sena malam
tadi.
Justeru, Abdul Hadi berkata, orang ramai tidak sewajarnya
mempercayai khabar angin kerana ia bukan sumber rasmi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan