Khamis, 12 April 2012

Jadi Warga Yang Perkasa, Dinamik.





KUALA LUMPUR 11 April – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, rakyat Malaysia perlu menjadi warga yang perkasa dan dinamik bagi memastikan negara mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Bukan sahaja tinggi penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi juga tinggi nilai akhlak, moral dan etikanya,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV di Istana Negara hari ini.

Istiadat kali ini melakar sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong, selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baharu di Jalan Duta di sini.
Tuanku Abdul halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke V pada 1970 samasa berusia 42 dan empat dekat kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84.

Seri paduka bertitah: “Negara tidak akan maju jika rakyatnya tidak berilmu dan kemajuan pula tidak bererti jika nilai-nilai yang positif diketepikan oleh penghuninya.”
Titah paduka, tidak ada negara di dunia ini yang mampu mencapai kemajuan dan mencipta kejayaan dengan hanya bergantung kepada inisiatif kerajaan semata-mata tanpa sokongan dan peranan yang dimainkan rakyat.

“maka jadilah insan mulia sebagaimana yang dituntut oleh agama, iaitu insan yang berilmu serta berpekerti mulia serta sedar dan patuh terhadap tanggungjawabnya kepada negara,” titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim bertitah rakyat negara bukan sahaja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020 tetapi terus menjadikan negara ini kekal maju dan dihormati dunia.

“Persaingan global yang perlu dihadapi hari ini begitu kompetitif serta mencabar, justeru setiap dari rakyat malaysia perlu bersedia untuk menggalas tanggungjawab dan melaksanakan peranan masing-masing dengan sepenuh hati,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga menyeru seluruh rakyat supaya bersatu padu, berganding bahu dan bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan negara terus maju, aman dan harmoni.

“Perkukuhkan diri dan pikullah tanggungjawab kita sebagai warga yang benar-benar cintakan tanah air.Sesunguhnya Malaysia adalah hak, lambang maruah dan kedaulatan bersama.Untuk itu, masa depan negara haruslah dicorak dan diadun oleh kita semua,’ titah Seri Paduka.
“Kemajuan dari segi kebendaan sahaja belum cukup untuk menjadikan kita satu bangsa yang kuat.Kita perlu menjaga dan mengamalkan ciri-ciri hidup masyarakat yang berbudi bahasa.

“Kemajuan fizikal yang diimbangi dengan nilai hidup berbudi bahasa akan mengangkat tamadun bangsa, menjulang agama dan negara.Beta menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjaga tatasusila dan ciri-ciri hidup ketimuran yang diamal selama ini,” titah Seri Paduka.
Menyentuh mengenai kepimpinan negara dan pertabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua, Seri Paduka bertitah: “Sesungguhnya juga, setelah lebih empat dekat berlalu seperti yang sudah ditentukan oleh yang Maha Kuasa dan tertulis dengan kehendak-Nya jua, pemerintahan Beta pada kali dahulu dan kali kedua ini, berpeluang menerima khidmat dari dua Perdana Menteri yang mempunyai pertalian darah.

“Pertamanya pada zaman pentadbiran Allahyarham Tun Abdul Razak. Kini pada kala tampuk kerajaan dibawah pimpinan anakandanya, Yakni Yang Berhormat Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah rakyat negara ini perlu bersyukur kerana negara sejak dahulu sehingga hari ini mengecap nikmat kemakmuran disebabkan adanya kesinambungan pimpinan kerajaan yang berhemah, cekap lagi berwawasan.

“Begitulah juga kita bertuah kerana rakyat dari pelbagai latar belakang kehidupan, bangsa dan agama dapat kekal hidup rukun damai, “ titah Seri Paduka.
Tuanku Abdul Halim juga bersyukur kerana dapat menyaksikan kemajuan negara ini dan menyedarkan Seri Paduka betapa bertuahnya Malaysia dan rakyatnya yang sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

Seri Paduka bertitah kesejahteraan hidup yang dinikmati ini “bukanlah datang secara bergolek, ia pastinya telah direncana, disusun dan dilaksanakan oleh kerajaan dengan usaha begitu gigih daripada kepimpinan lalu kepada kepimpinan semasa.”
Tuanku Abdul Halim bertitah, falsafah utama kerajaan yang berlandaskan gagasan 1Malaysia “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” amat sesuai pada saat yang mencabar ini kerana untuk menguruskan sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia memerlukan kerjasama semua pihak.

“Paling utama harus ada kesefahaman di setiap lapisan dan kelompok (masyarakat),” titah Seri Paduka.

-BERNAMA.

Tiada ulasan: