SUNGAI PETANI - 26 orang pekerja sebuah kilang di Bukit Makmur dekat
Sungai Lalang di sini mendakwa dianiaya majikan mereka apabila menerima arahan
berpindah atau diberhentikan tanpa sebarang pampasan.
Menurut mereka pihak kilang telah mengeluarkan notis supaya
mereka berpindah ke Ipoh atau jika enggan, mereka akan diberhentikan jika tidak
menjawab notis tersebut sebelum 31 mei ini.Kos untuk perpindahan itu pula perlu ditanggung oleh pekerja sendiri termasuk rumah serta pengangkutan.
Apa yang dikesalkan, sikap pihak majikan yang enggan
berunding bagi memberi penyelesaian yang
adil kepada semua pihak.
Seorang pekerja, Dahalan Ahmad, 46, berkata beliau merasa
terkilan dan rasa terhimpit apabila secara tiba-tiba akan hilang punca pendapatan
setelah hampir 10 tahun bekerja.
“Jika berhenti, punca pendapatan memang tiada, jika boleh
kami minta sedikit pampasan, dengan itu sekurang-kurangnya dapat membantu
sementara mendapat pekerjaan lain,” katanya.
Seorang lagi pekerja, Sivagami A/P Ramaya, 37 pula berkata, para
pekerja enggan menerima tawaran
berpindah kerana merasakan tidak berbaloi dengan kos yang perlu
ditanggung.
Katanya pihak majikan sepatutnya bersikap adil kepada semua
pihak kerana mereka juga mempunyai tanggungan, hutang dan sebagainya.
Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain
yang mengulas perkara itu berkata, pihak syarikat tidak sepatutnya terus
memberhentikan pekerja tanpa berunding untuk memberi peluang kepada pekerja
memberikan pendapat mereka.
Katanya mereka seolah-olah menggunakan kuasa mutlak dan ini
bukanlah amalan yang sepatutnya.
"Bagi saya ini adalah merupakan satu kes penganiayaan
kepada pekerja yang mana sesetengah pekerja itu sudah beberapa tahun bekerja,
Apabila
diberhentikan tanpa sebarang pampasan tentu sukar bagi mereka kerana pada masa ini sudah pun mereka ada
pinjaman rumah, kenderaan dan sebagainya, ” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan