SUNGAI PETANI - Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) hari ini menyalurkan bantuan berjumlah RM259,700 kepada warga miskin bandar didalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menterinya, Datuk M. Saravanan pada program Ziarah Kesejahteraan Bandar yang diadakan di Kompleks Penyanyang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani.Turut hadir Penyelaras Parlimen Merbok Dato' Tajul Urus Md Zain dan Penyelaras Dun Bukit Selambau M.L. Maran.
Saravanan berkata peruntukan itu merangkumi jenis bantuan membina rumah, membaik pulih rumah, peralatan kesihatan, peralatan perniagaan dan bantuan bakul makanan yang melibatkan 26 orang penerima.
"Untuk bantuan bina rumah dan baik pulih rumah masing-masing ada lima orang ketua isi rumah yang terima yang mana bagi bantuan bina rumah setiap orang dapat RM40,000 manakala baik pulih rumah pula dapat RM10,000 seorang.
“Bagi bantuan peralatan perniagaan ada lima penerima juga
iaitu setiap seorang dapat bernilai RM1,000 begitu juga peralatan kesihatan ada
lima penerima dan setiap orang dapat bernilai RM700. Untuk bantuan bakul
makanan ada enam penerima yang mana setiap seorang dapat bantuan bernilai RM50
beserta sumbangan wang tunai berjumlah RM150 seorang," katanya dalam satu
kenyataan media pada majlis Program Ziarah Kesejahteraan Bandar di Dewan
Undangan Negeri DUN Bukit Selambau di Dewan Kompleks Penyayang Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan bantuan membina rumah kepada warga
miskin bandar di Bukit Selambau itu merupakan bantuan utama yang diberikan oleh
KWPKB kepada pemilik rumah yang berada dalam kategori rumah yang daif, tidak
selamat dan tidak ekonomik untuk dibaiki semula serta memiliki isi rumah yang
ramai.
Bantuan ini bagi membolehkan keluarga miskin tersebut
mempunyai kediaman yang lebih selesa dan sesuai untuk didiami.
Pada majlis itu juga Saravanan turut bertemu dengan lapan
orang peserta latihan kemahiran dan keusahawanan di bawah KWPKB yang berjaya
menjana pendapatan bulanan purata antara RM300 hingga RM2,000 selepas mengikuti
latihan itu.
Dalam perkembangan lain, Saravanan turut menjelaskan,
sehingga 9 April tahun ini sebanyak 12,535 bilangan isi rumah miskin tegar
berdaftar di bawah eKasih di seluruh negara.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak empat buah
negeri yang mencatatkan bilangan golongan miskin tegar paling ramai iaitu
Sarawak, Sabah, Kelantan dan Selangor.
"Macam di Sarawak ada 3672, diikuti Sabah ada 2766,
Kelantan ada 1649 dan Selangor ada 999," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan