Ahad, 15 April 2012

Media sosial Patut Diguna Untuk Nyata Pandangan Berdasarkan Fakta Betul.

SUNGAI PETANI, Masyarakat di negara ini khususnya golongan muda sepatutnya menggunakan media sosial untuk menyampaikan pandangan mereka berdasarkan fakta yang tepat dan bukan mewujudkan persepsi yang boleh membawa keburukan kepada negara.

Ketua Pengarah Penerangan Ibrahim Abdul Rahman berkata ketika ini media sosial banyak diguna untuk mewujudkan persepsi negatif yang lebih kepada fakta kurang tepat berbanding untuk membuat kritikan membina.Beliau berkata media sosial sebenarnya boleh menjadi medium untuk mendengar denyut nadi rakyat jika pandangan disalur secara bertanggungjawab.

"Mereka harus bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Kerajaan sentiasa mahukan maklum balas daripada rakyat dan dalam keadaan sekarang, media sosial boleh memainkan peranan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dekat sini.

Beliau berkata bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang media sosial diguna untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan berdasarkan pembohongan, dan bukan digunakan untuk tujuan yang positif.

"Kerana itu, Jabatan Penerangan terpaksa memainkan peranan untuk menangkis segala tohmahan dan fitnah yang dibuat dalam media sosial. Perkara yang tidak betul, apabila diulang 40 kali, orang akan percaya," katanya.

Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah menyekat rakyat untuk menyuarakan pandangan, malah Jabatan Penerangan sendiri mempunyai program-program untuk mendapatkan pandangan maklum balas daripada rakyat dalam sesuatu perkara.

Mengenai konvensyen anjuran Sekretariat Konvensyen Media Sosial 1Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penerangan dan Biro Tatanegara itu, beliau berkata konvensyen kali ini adalah edisi kelima dan sehingga kini ia berjaya mengumpulkan lebih 10,000 pengguna media sosial daripada kalangan golongan muda.

Tiada ulasan: