Ahad, 15 April 2012

Kedah Sejahtera Bukan Hanya Hidup Aman!

SUNGAI PETANI, Seorang ahli panel pada satu forum disini hari ini berkata Konsep Kedah Sejahtera yang menjadi pegangan kerajaan negeri Kedah sekarang tidak sepatutnya tertumpu kepada kehidupan aman damai sahaja.

Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan berkata "sejahtera" dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri seharusnya mencakupi peningkatan taraf kehidupan rakyat.

"Sejahtera bagi saya adalah perut kita, kita nak pakai kereta dan nak tingkatkan kehidupan (untuk kehidupan yang semakin baik dan selesa)," katanya semasa menjadi ahli panel forum isu semasa bertajuk "Kedah Sejahtera - Antara Mimpi dan Realiti" pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia peringkat negeri Kedah di Universiti Teknologi MARA Merbok dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh bertindak sebagai moderator forum itu.
Zaini berkata keadaan yang berlaku di Kedah ketika ini, pemimpin dalam kerajaan negeri yang diterajui PAS dilihat sudah tidak bekerjasama antara satu sama lain dan membuat hal masing-masing dalam urusan pentadbiran negeri manakala di pihak Umno pula, mereka dilihat lebih suka bercakaran antara satu sama lain untuk merebut jawatan dan kerusi.

Sehubungan itu, Zaini menyarankan supaya pemimpin Umno di negeri ini balik kepada perjuangan asal dan memberi laluan kepada orang baru untuk memimpin.
"Kesimpulannya back to basic (kembali kepada asas) iaitu orang lama support (sokong) orang baru,"  katanya.

Dalam konteks nasional, Zaini berkata pakatan pembangkang dilihat sering mempunyai dasar yang bertentangan antara satu sama lain.

Zaini berkata berdasarkan pemerhatiannya antara dasar yang dibawa kerajaan Selangor dengan Kedah wujud perbezaan.

"Saya tengok banner (sepanduk) di Shah Alam kata Selamatkan Malaysia manakala datang ke Kedah tengok Kedah Sejahtera. Ada contradict (percanggahan)... saya tertanya-tanya selamatkan daripada siapa," katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel iaitu Pengerusi Jawatankuasa Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya berkata PAS sering memainkan isu orang yang menyokong mereka masuk syurga sedangkan hanya Allah yang berhak tentukan siapa yang akan masuk syurga atau neraka.
"Orang yang beriman, bertakwa dan berbuat kebaikan seperti yang disuruh Allah yang akan masuk syurga," katanya.

Fathul Bari berkata tiada mana-mana hukum yang mengatakan menjadi ulama adalah syarat untuk menjadi pemimpin kerana untuk menjadi pemimpin tidak semestinya di kalangan ulama.
"Tapi kalau ulama yang jadi pemimpin Alhamdulillah," katanya.

Zulkefli dalam penggulungannya pada forum itu berkata masyarakat India dan Cina di negara ini mempunyai pandangan hanya yang buat baik dapat masuk syurga tetapi ada orang Melayu mempunyai pandangan ia ditentukan oleh parti politik.

"Jadi bagi orang Melayu keluarlah daripada kepompong yang membelenggu itu. Malulah dengan bangsa lain. Sejahtera Kedah bukanlah sejahtera mandom (statik) sahaja. Kedah boleh bersaing dengan negeri lain, malah boleh maju lebih daripada Selangor," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: