Jumaat, 6 April 2012

SJKC, SJKT Tidak Akan Ditutup.


ALOR SETAR  – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan tidak pernah bercadang menutup operasi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsan Tamil (SJKT) di negara ini seperti yang didakwa pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri berkata, SJKC dan SJKT adalah warisan negara dan kerajaan tidak pernah menafikan hak kaum Cina dan India untuk mendalami bahasa ibunda masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang mengamalkan sistem persekolahan seperti di Malaysia dalam memenuhi keperluan rakyat yang mahu anak-anak mereka faham bahasa ibunda masing-masing.
“Hanya di Malaysia ada sistem sekolah begini iaitu kita sediakan peluang pendidikan untuk memenuhi kehendak kaum-kaum utama di negara kita,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 warga pendidik SJKC dan SJKT di padang Sekolah Menengah Keat Hwa 2 di Jalan Kuala Kedah, di sini.


Pada majlis itu beliau turut menyampaikan waran peruntukan pembangunan bernilai RM 14.42 juta kepada 89 SJKC dan 58 SJKT di Kedah.

Mengulas lanjut Muhyidin berkata, rakyat berbilang kaum di negara ini tidak seharusnya terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pembangkang yang menuduh kerajaan mahu menutup SJKC dan SJKT. Menurutnya beliau sebagai menteri pelajaran tidak mempunyai kuasa menutup SJKC dan SJKT malah perkara sebegitu tidak termaktub dalam Akta Pendidikan (1996).

"Jangan hanya kerana wajah saya seperti orang melayu maka saya tidak ikhlas terhadap kaum cina dan india.

"SJKC dan SJKT adalah lambang permuafakatan yang terjalin antara parti berbilang kaum dalam Barisan Nasional (BN) dan penting bagi saya melihat SJKC dan SJKT terus wujud di negara ini", katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak pernah menganaktirikan SJKC dan SJKT seperti yang didakwa pembangkang kononnya kerajaan hanya memberi perhatian kepada Sekolah Kebangsaan (SK).

Mengenai isu kekurangan guru di SJKC beliau menjelaskan, masalah itu sudah diatasi dimana daripada 1,700 kekosongan, 1,400 telah pun diisi, kini hanya tinggal 300 kekosongan sahaja", katanya.






Tiada ulasan: