Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri Kedah mendapat
peruntukkan Kerajaan Pusat sebanyak RM1.3 juta bagi melaksanakan projek
baikpulih 130 buah rumah nelayan di Tanjung Dawai.
Pengarahnya, Mohamad Noor Had memberitahu, peruntukkan itu
adalah bagi kerja-kerja membaiki rumah nelayan sejak tahun lepas dengan kos antara
RM8,000 hingga RM10,000 tiap-tiap sebuah.
"Nelayan perlu ambil peluang bagi membaiki rumah
masing-masing melalui peruntukkan disediakan itu," katanya kepada
pemberita di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Kawasan Tanjung Dawai
di Kelab Cinta Sayang di sini.
Seramai 831 nelayan menerima bantuan itu yang berjumlah RM164,700.
Beliau menambah, pihaknya juga telah mengenalpasti seramai
100 orang lagi nelayan di kawasan sama memerlu bantuan seumpama ini pada tahun
ini.
Bagaimanapun, kata Mohamad Nor, kira-kira RM1 juta lagi diperlukan
bagi melakukan kerja baikpulih rumah itu.
"Kalangan mereka yang menjadi nelayan di kawasan
Tanjung Dawai bukan keluarga senang dan mereka perlu dibantu agar kehidupan
mereka menjadi lebih selesa," katanya lagi.
Beliau menyifatkan langkah kerajaan pusat menghulur bantuan
sebanyak RM7 juta bagi membaikpulih rumah nelayan di seluruh negeri Kedah sejak
tahun lepas, adalah langkah yang amat baik dan prihatin.
Sementara itu, Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus
Md Zain semasa menyampai bantuan itu berkata, golongan nelayan bernasib baik
kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) amat prihatin dengan kerja-kerja mereka
penuh cabaran yang dilakukan itu.
"Pelbagai program terus dilakukan oleh kerajaan untuk
memperbaiki kehidupan kaum nelayan setiap masa," katanya.
Sementara itu, seorang penerima elaun sara hidup nelayan,
Abdul Rashid Ahmad, 52, dari Batu Lintang berkata, walaupun dalam keadaan
cacat, dia masih lagi menjadi nelayan untuk mencari wang bagi menyara keluarga bersama isteri serta lima orang anak.
"Langkah kerajaan menghulur bantuan RM200 ini adalah
baik sekali dan ia dapat menceriakan setiap penerima," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan