Jumaat, 9 November 2012

BR1M 2.0 - kaunter pendaftaran mula dibuka untuk beri kemudahan kepada rakyat.

Dato' Hj. Tajul Urus meninjau kelancaran
kaunter pendaftaran BR1M di Sungai Lalang tengahari tadi.

SUNGAI LALANG 9 NOV. – Dalam usaha memudahkan orang ramai membuat pendaftaran BR1M 2.0, Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok hari ini mula membuka kaunter pendaftaran di dua lokasi iaitu di Dewan Orang Ramai Sungai Lalang dan Pekan Tanjung Dawai.

Di Sungai Lalang, sehingga tengahari tadi lebih 250 orang telah berjaya didaftarkan manakala di Tanjung Dawai juga dengan jumlah hampir sama iaitu 210 orang.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, Objektif kaunter ini dibuka adalah untuk menyenangkan rakyat dimana mereka tidak perlu pergi ke pejabat Pembangunan atau Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat pendaftaran.

“Kita akan menghantar beberapa kumpulan-kumpulan untuk membantu LHDN membuat pendaftaran di Parlimen Merbok”,
“Sebagai permulaan, hari ini kita adakan di Sungai Lalang dan  Tanjung Dawai, manakala esok kita akan buat di Amanjaya Mall bagi memudahkan orang ramai sambil mereka pergi membeli belah mereka juga boleh buat pendaftaran,” katanya.

Beliau menambah kaunter pendaftaran juga akan dibuka di beberapa tempat lain iaitu di Bukit Selambau, Pekan Merbok, Batu Hampar, Pengkalan Bujang dan Kampung Segantang Garam

 

Rabu, 7 November 2012

Nurul Izzah, Kenyataan balas pemimpin Pas memang sudah dijangka!


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas kenyataan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung isu bebas untuk memilih agama kerana beliau mendakwa ia disiarkan oleh akhbar yang sudah beberapa kali disaman diatas laporan palsu.

"Saya ditanya tentang isu kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah berhubung isu bebas untuk memilih agama.
"Saya lihat akhbar yang meletakkan isu ini di muka hadapan ialah akhbar yang sudah berkali kali kalah di mahkamah kerana menyiarkan laporan palsu dan tidak tepat.
"Justeru, saya kira amat tidak wajar memberikan ulasan hanya semata-mata berasaskan laporan akhbar ini," katanya menerusi kenyataan ringkas facebook beliau.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menyatakan PAS tidak bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Nurul Izzah kerana menganggap isu itu tidak penting berbanding banyak lagi perkara lain yang perlu diselesaikan bagi menghadapi pilihanraya.
Ketika ditanya wakil media sama ada parti itu akan bertemu dengan Nurul Izzah, Hj Hadi berkata, "kita banyak lagi hal lain nak selesai untuk hadapi pilihan raya, lagipun kita kena periksa dahulu... dalam Islam kalau kita tidak jelas walau satu peratus, kita tidak boleh hukum."



Isnin, 5 November 2012

BR1M 2.0, kaunter pendaftaran akan dibuka bagi mudahkan orang ramai.


SUNGAI PETANI 5 Nov. - Bagi tujuan memudahkan orang ramai, Pejabat Penyelaras Parlimen Merbok bercadang untuk membuka kaunter pendaftaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) di beberapa kawasan mengikut keperluan.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, pembukaan kaunter berkenaan perlu bagi memberi kemudahan khususnya bagi pemohon baru dan individu bujang melakukan pendaftaran untuk menerima BR1M 2.0 yang dijangka akan dilaksanakan pada awal 2013.



“Antara tempat-tempat yang dicadangkan adalah seperti kawasan pasar, dewan orang ramai serta kawasan tumpuan seperti restoran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat BR1M 2.0 peringkat Parlimen Merbok oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Dewan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Sungai Petani hari ini.Taklimat itu dihadiri pemimpin masyarakat serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Turut hadir Penolong Pengarah LHDN Sungai Petani, Mohd Nor Tajri.
Pada pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan pemberian bantuan tunai (BR1M 2.0) sebanyak RM500.

Berbeza dengan pemberian sebelum ini, pemberian BR1M pada kali ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas dengan jumlah pendapatan kasar RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.

Bantuan tersebut adalah tanda keprihatinan Kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup serta selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah dan dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.0 bilion.

Kenyataan Nurul Izzah, apa agaknya kata Pas yang konon Islam adalah perjuangannya?

  
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan, rakyat tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Beliau seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : ''Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama... mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata demikian ketika menjawab soalan peserta forum Negara Islam : Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? iaitu sama ada orang Melayu perlu diberikan kebebasan beragama seperti orang bukan Melayu di Subang Jaya, semalam.
“Tiada desakan dalam beragama...mana boleh kita kata ‘maaf ini (kebebasan beragama) hanya untuk bukan Islam sahaja’, ia seharusnya dilaksanakan sama rata,” katanya ketika menjadi panel forum 'Islamic State: Which version; Who’s responsibility?’ anjuran Gereja Full Gospel Tabernacle di Subang hari ini.
Izzah turut mempertikaikan undang-undang yang digunakan pihak berkuasa di negara ini dalam menangani gejala Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).
Menurutnya, selain daripada tempat awam, pihak berkuasa tidak wajar untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dengan gejala tersebut. Menyifatkannya sebagai tidak menghormati privasi seseorang, tindakan tersebut juga katanya tidak membawa  sebarang nilai Islam.
“Dalam Islam terdapat sekatan berhubung isu LGBT ini. Tapi apa yang penting ialah kita tidak menjadikan golongan ini sebagai mangsa. Kita harus terima mereka ini.
“Sebagai seorang Muslim, saya boleh terima (LGBT). Pada saya, sesiapa yang melakukan orientasi seks mereka di tempat peribadi, kita tidak boleh mengambil tindakan (terhadapnya). Sebagai seorang muslim, saya tidak boleh menerima ini

Khamis, 1 November 2012

Punca Pas ‘diceraikan’ 1977.

 

DALAM apa-apa pertikaian pun, akhirnya kita akan merujuk kembali kepada sejarah. Tidak kiralah apa isu pun, yang penting faktanya.

Menyelusuri fakta-fakta sejarah itulah, satu rumusan perlu difikirkan apakah benar kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menganaktirikan Pas suatu ketika dulu. Atau adakah Pas sebenarnya yang angkat kaki dari kerajaan BN pada 1977 ekoran sifat tikam belakangnya terhadap BN.
Di sini saya utarakan dahulu sedutan Perdana Menteri, Tun Hussein Onn pada 9 Disember 1977 sempena Perjumpaan Ketua-ketua UMNO Bahagian di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Dalam pilihan raya tahun 1974, UMNO sebenarnya menghadapi kesulitan kerana terpaksa bertolak ansur dengan memberikan beberapa kerusi baru dan kerusi-kerusi tambahan kepada Pas. UMNO terpaksa berbuat demikian semata-mata dengan tujuan hendak mewujud dan mengekalkan semangat kerjasama UMNO dengan Pas demi kepentingan dan faedah rakyat.
Pucuk pimpinan Pas juga memberi amaran bahawa kononnya lima buah negeri di Semenanjung Malaysia akan menerima nasib seperti di Pulau Pinang.
Agaknya mereka merujuk kepada peristiwa pilihan raya tahun 1969 dahulu jika sekiranya Pas meninggalkan atau dikeluarkan daripada BN. Ugutan dan ancaman seperti ini merupakan satu provokasi yang merbahaya. UMNO mempunyai maruahnya sendiri. Kita sering kali juga mendengar desakan supaya pucuk pimpinan Pas mengkaji semula kedudukan Pas dalam BN.
Perkara ini dibangkitkan dalam tiap-tiap Perhimpunan Agung Pas selama tiga tahun berturut-turut setelah Pas menyertai gabungan besar ini.
Penubuhan ranting-ranting Pas dalam kawasan-kawasan UMNO juga menimbulkan kecurigaan dan boleh membangkitkan salah faham di kalangan rakyat. Banyak lagi perbuatan dan tindakan pucuk pimpinan Pas yang meragukan.
Kita sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh memelihara perpaduan BN. Tetapi bagaimanakah perpaduan dapat dikekalkan jika ada pihak yang tidak mahu mengikuti peraturan dan tidak mahu mematuhi keputusan yang dipersetujui oleh ramai. Perpaduan yang hanya ada pada nama sahaja tidak membawa erti apa-apa tidak berfaedah.
Ada dalam kalangan rakyat yang menginsafi fakta sebenar Pas dikeluarkan dari BN. Fakta ini merupakan kebenaran yang tidak seharusnya disenyapkan demi merungkai rasa benci dan menyampah pengikut dan penyokong Pas yang melulu terhadap BN khususnya UMNO.
Antara punca sebenar krisis Kelantan pada 1977 adalah daripada Pas sendiri. Malah di dalam portal Pas Pusat itu menyatakan ia bermula apabila timbulnya rasa tidak puas hati Pas terhadap Menteri Besar Kelantan ketika itu, Datuk Muhammad Nasir. Rakyat waktu itu tertanya-tanya mengapa pada tahun itu, pimpinan Pas melucutkan jawatan Muhammad sebagai Menteri Besar tanpa merujuk kepada Kerajaan Pusat terlebih dahulu.
 
Yang diselindungkan Pas ketika itu ialah:

* Ada di antara pemimpin Pas Kelantan memfitnah dan menuduh Muhammad Nasir terlalu mengikut telunjuk UMNO-BN. Hakikatnya pada ketika itu UMNO-BN tidak pernah campurtangan dalam mencorak pemerintahan Pas (ketika itu). Malah, sedangkan ketika itu keputusan pemerintahan Pas Kelantan masih di tangan kuasa majoriti Dewan Undangan Negeri.
* Malah pada ketika itu juga terdapat usaha dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas (ketika itu), Datuk Dr. Mohd Asri Muda. Ia dilakukan hanya kerana beliau adalah tokoh Pas yang bertanggungjawab membawa Pas menyertai BN pada 1973.
* Asas yang digunakan oleh sebahagian pemimpin Pas Kelantan (ketika itu) untuk menolak Mohd Asri dan Muhammad hanya kerana selepas PRU 1973, Pas mempunyai kuasa majoriti dengan 22 kerusi dan UMNO hanya 13 kerusi, dan tidak memerlukan sebarang usaha bergabung antara Pas dan UMNO.
* Dalam tempoh 1973-1978, Mohd. Asri selaku Presiden Pas dan Muhammad dikaitkan dengan pelbagai spekulasi dan masalah khususnya melibatkan Pas di Kelantan. Hakikatnya spekulasi dan tuduhan tersebut adalah hasil putar belit fakta sebahagian pemimpin dan ahli-ahli Pas yang tidak berpuashati dengan perpaduan Pas-UMNO.
* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan 1977 dikatakan timbul hasil ketidakpuasan hati terhadap Menteri Besar negeri itu, Muhammad Nasir. Beliau dipecat sebagai MB Kelantan oleh pucuk pemimpin Pas Kelantan itu sendiri.
* Mohd. Asri pula mula ditendang keluar oleh Pucuk Pemimpin Pas Kelantan selepas PRU 1978, dengan desakan-desakan supaya beliau meletakkan jawatan selaku Yang Dipertua Agung Pas, desakan yang datang dari beberapa pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau akhirnya mengumumkan peletakan jawatan sebagai Yang Dipertua Agung Pas pada 23 Oktober 1982.
* Krisis Kepimpinan Pas Kelantan pada 1977 itu membawa kepada undi tidak percaya kepada MB Kelantan pada 15 Oktober 1978.
Apapun Kerajaan Pusat ketika itu menghormati keputusan yang dibuat oleh Pas Kelantan, atas dasar persefahaman dan tidak masuk campur dengan alasan yang diberi oleh Pas Kelantan itu dengan mendakwa perkara itu merupakan soal rumah-tangga Pas.
* Tumbangnya Muhammad Nasir akibat perebutan kuasa dalam Pas menyebabkan berlakunya rusuhan yang dimulakan oleh penyokong Nasir di Kota Bharu. Rusuhan itu mengakibatkan kerosakkan harta benda, mengancam nyawa dan keselamatan rakyat dan juga mengancam keselamatan negeri Kelantan.
* Seperti yang dinyatakan oleh Tun Hussein dalam ucapan beliau pada 9 Disember 1977, selaku Perdana Menteri ketika itu, belau harus bertanggungjawab di atas keselamatan negara dan kebajikan rakyat, yang dikhuatiri rusuhan di Kelantan mungkin akan merebak ke negeri-negeri lain dan mengekang rusuhan seperti peristiwa 13 Mei berulang.
* Pada November 1977, Parlimen Persekutuan meluluskan rang undang-undang darurat Kelantan yang meletakkan Kelantan ditadbir secara terus oleh Kerajaan Pusat.
* Rang undang-undang Darurat Kelantan dirangka bersama menteri-menteri Pas yang ketika itu masih lagi bersama-sama UMNO dalam jemaah Menteri. Dan ia diluluskan oleh Parlimen setelah mendapat persetujuan majoriti termasuk dari kalangan menteri Pas sendiri.
* Setelah Kelantan di bawah Darurat, Mohd. Asri menerima tekanan dari beberapa pimpinan Pas terutamanya Nik Aziz selaku Pesuruhjaya Pas Kelantan dan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat yang dari awal begitu lantang menentang gabungan Pas-BN.
* Hasil dari desakan itu, Hassan Adli Arshad selaku Timbalan Yang DiPertua Agung Pas dijadikan kambing hitam Pas apabila beliau dipecat oleh Mohd Asri yang kononnya beliau menjadi ketua menteri-menteri Pas yang menyokong rang undang-undang Darurat.
* Malah beberapa pimpinan Pas yang menentang gabungan Pas-UMNO ketika itu terutamanya Nik Aziz mula menunjukkan sikap memberontak dalam perikatan gabungan Pas-UMNO, menentang setiap arahan dan pelaksanaan kemajuan yang dilakukan BN di Kelantan.
* Pemberontakan dalaman ini memungkin barah berlaku dalam BN, hasil ketiadaan disiplin pemimpin Pas ini, menyebabkan UMNO terpaksa membuka tali yang mengabungkan Pas-UMNO.
* Rentetan dari itu juga menyebabkan Krisis dalaman Pas kepada perpecahan Pas pada beberapa parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim.
* Keluarnya Pas dari gabungan BN-UMNO, menyaksikan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Kelantan diadakan pada Mac 1978.
* Pada PRK Mac 1978, rakyat menjadi gempar setelah pekung yang selama ini disimpan oleh beberapa pimpinan Pas di antaranya Nik Aziz ketika itu terbongkar, apabila isu pemberian kontrak balak diberikan sewenang-wenangnya membuktikan Pas cuba menggadaikan Kelantan.
Itulah antara puncanya Tun Hussein pada 1977 mengungkapkan luahan hatinya yang berkait secara langsung dengan tindakan biadab Pas tersebut. Pas diceraikan selepas tidak lagi memegang aspirasi kerjasama apabila berada dalam kerajaan BN.

Isu kapal selam, Kerjasama Suaram, syarikat guaman memfitnah PM terbongkar.





Pertubuhan tidak berdaftar, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa terlibat dalam satu perancangan bersama dengan sebuah syarikat guaman tempatan terkemuka untuk menjatuhkan Kerajaan Pusat yang dipilih secara sah melalui sistem demokrasi oleh rakyat.
Pendedahan kerjasama antara Suaram dengan syarikat guaman dalam satu ‘misi besar’ itu terbongkar selepas sepucuk surat dengan maklumat palsu yang ditulis peguam syarikat terbabit kepada peguam Perancis, didedahkan oleh Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat semalam.

Menerusi surat rasmi yang ditandatangani oleh peguam berkenaan dakwa Choo Keong, syarikat guaman tersebut yang banyak mendapat kontrak guaman dengan syarikat milik kerajaan (GLC) mendakwa Suaram sebagai sebuah pertubuhan yang sah melalui Suara Inisiatif Sdn. Bhd. (Suara Inisiatif) walaupun terbukti tidak berdaftar.
"Ini satu perancangan yang besar untuk menjatuhkan kerajaan sekarang. Selepas mendapatkan dana asing bernilai puluhan juta, Suaram 'bersekongkol' pula dengan syarikat guaman terkemuka tempatan untuk menjayakan misi yang sama sehingga sanggup menulis surat mengatakan Suaram kononnya pertubuhan yang sah.
"Malang syarikat yang 'bersekongkol' untuk menjatuhkan kerajaan ini mendapat kontrak guaman dengan banyak GLC dan salah satunya adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya semasa sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Ketika ditemui UM selepas sesi perbahasan tersebut, Choo Keong memberitahu, surat yang ditulis dan ditandatangani oleh peguam berkenaan bertujuan untuk menyakinkan peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham dalam usaha Suaram dan syarikat guaman itu mahu mengheret isu pembelian kapal selam Scorpene ke mahkamah.
Katanya, dengan berbuat demikian hasrat kedua-dua pihak itu untuk menarik peguam asing dalam isu kapal selam Scorpene akan berjaya kerana jika Bourdon dan Breham mengetahui Suaram sebenarnya sebuah badan tidak berdaftar, tidak mungkin mana-mana peguam asing mahu terlibat dalam perancangan mereka itu.
Sehubungan itu, beliau mendesak Majlis Peguam mengambil tindakan ke atas peguam berkenaan kerana bertindak menyalahi kod etika profesional kerana fakwa Choo Keong, pengamal undang-undang itu secara sengaja dan sedar telah menipu fakta sebenar demi kepentngan politik sehingga mencemarkan imej Malaysia.

Lebuh raya sungai di Kedah.


SUNGAI PETANI 31 Okt. - Rakyat negeri ini khususnya kalangan petani dijangka meraih satu lagi manfaat daripada Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan projek 'lebuh raya sungai' dari Empangan Pedu sehingga ke daerah Kuala Muda.
Projek lebuh raya sungai itu dicadangkan bertujuan mengalihkan aliran air sungai yang bengkak-bengkok di beberapa daerah di Kedah, bagi mengelakkan berlaku kerosakan tanaman padi akibat air sungai masuk ke kawasan sawah padi.
Sebelum ini, apabila tiba musim tengkujuh banyak padi yang rosak dan musnah, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar hingga jutaan ringgit untuk diberikan kepada petani sebagai ganti rugi.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan memudahkan air disalurkan ke kawasan tanaman padi yang kini mempunyai keluasan kira-kira 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat setiap golongan termasuk petani yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada negara.
"Saya selaku Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk golongan ini," katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Pantai Merdeka di sini hari ini.
Lebih 15,000 peladang, penternak dan nelayan seluruh negeri Kedah menghadiri program yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Dengan terlaksananya projek yang pernah dicadangkan oleh LPP itu, lebih 3,000 keluarga petani dijangka meraih manfaat melalui peningkatan pengeluaran hasil padi sedia ada daripada 2.8 metrik tan sehektar kepada 10 metrik tan sehektar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melahirkan penghargaan kepada golongan petani dan nelayan atas jasa besar mereka kepada negara.

Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan memahami aspirasi setiap golongan termasuk petani.


Rakyat Perlu Hargai Pemimpin Yang Amanah Dan Tepati Janji - Najib


SUNGAI PETANI, 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat menghargai pemimpin yang sentiasa amanah dengan tanggungjawab yang diberikan serta menepati janji.
Beliau berkata pemimpin yang tidak pernah mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan wajib disokong oleh rakyat demi kesejahteraan negara.

"Kita (pemimpin yang) tidak pernah bercakap bohong, kita bercakap benar, jadi kita mesti faham bahawa apa yang kita lakukan itu memang menepati kehendak agama kita, menepati hadis Rasulullah SAW.
"Ini amanah yang kita galas, tidak pernah khianati dan setiap janji kepada rakyat kita tepati," katanya dalam ucapan pada majlis Perhimpunan Peladang, Penternak dan Nelayan negeri Kedah di Pantai Merdeka di sini Rabu.

Kira-kira 15,000 orang menghadiri majlis anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.

Turut hadir pada perhimpunan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Johari Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah.

Selain itu, Najib menegaskan tugas mengendalikan urusan sesebuah kerajaan bukan sesuatu yang mudah, bukan semata-mata ikut suka hati sendiri atau sekadar menyedapkan halwa telinga pengundi.
"Sebab itulah kita sebagai sebuah negara yang semakin hari semakin berjaya, ada perancangan yang jelas dan berjuang melakukan perubahan yang besar. Untuk mencapai sebuah negara maju, kita perlu kepada kemajuan yang seimbang dan tidak boleh meminggirkan mana-mana golongan.

"Kalau kita dengar pembangkang hendak mansuhkan hutang, hapuskan tol, naikkan gaji minimum, kurangkan harga minyak...semuanya sekali boleh sebabkan ekonomi kita runtuh dan jika itu berlaku, hasil kerajaan juga akan merudum," katanya.
Najib memberi contoh mengikut Islam "kalau meninggal dunia wajib lunaskan hutang, kalau kita tak sempat, waris kita kena selesaikan. Kalau mati tanpa melunaskan hutang, berat pada roh kita nanti...seksa nanti, tapi pembangkang senang-senang kata hapuskan hutang, itu bukan ajaran Islam". katanya.

Menyentuh permintaan Pertubuhan Peladang Kedah supaya dilaksanakan projek lebuh raya sungai dari dari Empangan Pedu di bahagian utara Kedah hingga ke daerah Kuala Muda di bahagian selatan, perdana menteri berkata kerajaan tiada masalah melaksanakannya.

"Kita (kerajaan) boleh bagi...tapi kena bagi (Barisan Nasional) menang jugalah (pilihan raya umum ke-13). InsyaAllah masalah-masalah yang dihadapi golongan petani, penternak dan nelayan yang disebutkan, akan diambil perhatian," katanya.
Projek lebuh raya sungai itu dicadangkan bertujuan mengalihkan aliran air sungai yang bengkak-bengkok di beberapa daerah di Kedah, seperti di Pendang, bagi mengelakkan berlaku kerosakan tanaman padi akibat air sungai masuk ke kawasan sawah padi.

Sebelum ini, apabila tiba musim tengkujuh banyak padi yang rosak dan musnah, kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang besar hingga jutaan ringgit untuk diberikan kepada petani sebagai ganti rugi.
Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kerajaan persekutuan di bawah beberapa insentif seperti insentif pengeluaran beras, insentif peningkatan hasil, elaun sara hidup nelayan dan insentif tangkapan ikan negeri kepada petani, penternak dan nelayan.

 Najib menyifatkan golongan petani, penternak dan nelayan sebagai wira yang tidak didendang kerana usaha dan perjuangan mereka adalah di belakang tabir serta tidak menonjol.
"Golongan ini mempunyai jasa yang sangat besar kepada kita, kenapa saya kata bahawa golongan ini wira yang tidak didendang...yang sebenarnya golongan petani, penternak dan nelayan ini mempunyai jasa yang begitu besar kepada negara.

"Mereka memberi sumbangan yang cukup besar kerana nasi yang kita makan saban hari adalah hasil daripada daripada titik peluh petani, ikan yang dijadikan lauk adalah kerana para nelayan sanggup meniti gelombang, panas matahari terik
samudera untuk beri bekalan ikan kepada kita semua, begitu juga ayam dan daging yang kita makan buah dan sayur sebagainya kerana titik peluh serta jasa dan kesungguhan mereka," katanya.

Oleh itu, katanya, golongan petani, penternak dan nelayan sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan kerana itu di bawah Belanjawan 2013, sebanyak RM5.8 bilion diperuntukan kepada Kementerian Pertanian dan Asas Tani bagi pembangunan ekonomi golongan ini.
-- BERNAMA

Jumaat, 26 Oktober 2012

Malaysia ke-12 Paling Berdaya Saing: Bukti Negara Tak Bangkrap.


Laporan Bank Dunia Edisi 2013 yang meletakkan Malaysia di tangga ke 12 paling berdaya saing bagi perniagaan sekali gus menghumban segala tuduhan pembangkang konon negara ini akan bangkrap, ke dalam longkang.
Kedudukan ini merupakan lonjakan enam anak tangga berbanding 2011 iaitu lonjakan yang paling tinggi setakat ini.  Pada tahun 2010, Malaysia berada di tangga 23.
Kedudukan ini juga meletakkan Malaysia mengatasi negara seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).
Laporan Bank Dunia ini adalah berdasarkan kajian ke atas 185 ekonomi merentasi kriteria daya saing seperti kemudahan memulakan perniagaan, kelulusan mendapatkan lesen, kecekapan pentadbiran cukai dan kemudahan menjalankan perdagangan rentas sempadan.
Malaysia didapati telah memperbaiki kedudukan daya saingnya dalam lima bidang menjalankan perniagaan, iaitu Kemudahan Bekalan Elektrik (dari tempat ke-59 ke tempat ke-28); Pendaftaran Hartanah (dari tempat ke-59 ke tempat ke-33); Pembayaran Cukai (dari tempat ke-41 ke tempat ke-15); Perdagangan Rentas Sempadan (dari tempat ke-29 ke tempat ke-11) dan Urusan Permit Pembinaan (dari tempat ke-113 ke tempat ke-96).
Nampaknya, segala usaha pembangkang untuk menggambarkan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia mengalami masalah ekonomi serta mengalami risiko bangkrap berdasarkan Bajet dan Audit yang baru dibentangkan telah sekali lagi tidak berjaya.
Dengan laporan Bank Dunia ini, keyakinan pelabur terhadap Malaysia juga akan melonjak tinggi dan ini bakal membantu negara mencapai sasaran pengurangan kadar defisit kepada 4.0 peratus daripada KDNK berbanding 4.5 peratus tahun ini.
Golongan peniaga juga dijangkan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan dalam PRU yang akan datang berdasarkan perkembangan positif yang direkodkan ini.
Sementara itu, pakatan pembangkang dilihat semakin buntu apabila Bajet yang dibentangkan mereka mendapat kritikan hebat kerana tidak dibuat berdasarkan realiti dan tegar meneruskan janji-janji yang tidak masuk akal.  Lebih buruk lagi bagi pembangkang apabila Laporan Audit yang dibentangkan mendedahkan kelemahan yang ketara di negeri-negeri yang diperintah mereka sehingga dalam beberapa kes terdapat desakan dari rakyat agar dilakukan siasatan oleh SPRM.
Ketika BN berjaya membuktikan kecekapan melalui khidmat yang cemerlang, pembangkang terpaksa bermain politik dengan isu remeh iaitu kamera AES dan cukai rokok yang sebenarnya membawa kesan yang baik untuk rakyat.  Pembangkang telah bertindak menyeru rakyat menolak sesuatu yang baik untuk mereka dengan alasan ia memberi pulangan wang kepada kerajaan dan cuba menggambarkan bahawa kerajaan terdesak untuk menambah pendapatan dengan memeras rakyat.

Namun, laporan Bank Dunia ini dengan sendirinya menafikan yang kerajaan buntu untuk menjana kewangan.  Terbukti kerajaan telah berjaya menyediakan persekitaran yang selesa untuk membolehkan perniagaan berkembang dan pelaburan meningkat bagi memastikan kewangan negara dapat dijana secara konsisten.
Kini rakyat semakin yakin dengan kerajaan dan pembangkang semakin kehilangan modal untuk berkempen.

Khamis, 25 Oktober 2012

Salam Aidiladha.


Dari Al-Barra, katanya; "Saya mendengar Nabi berkhutbah. Kata beliau: "Pekerjaan kita hari ini (10 Zulhijjah) ialah solat. Sesudah itu pulang dan menyembelih korban. Sesiapa yang berbuat demikian bererti telah menjalankan agama kita." (Sahih Muslim).

Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain bersama keluarga serta seluruh warga UMNO Bahagian mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha  kepada seluruh umat Islam khususnya di Parlimen Merbok.

Semoga segala amal ibadah kita diterima disisi Alllah SWT.



Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hilham.


Aidiladha - UMNO Merbok sumbang 10 ekor lembu korban.

 
MERBOK 25 Okt. - Sempena sambutan Aidiladha esok, UMNO Bahagian Merbok telah mengagihkan sebanyak 10 ekor lembu untuk dikorbankan.
Ketua UMNO Bahagian Merbok, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain ketika dihubungi berkata, dari jumlah itu, 4 daripadanya disumbangkan kepada anggota perajurit yang meliputi Kem 6 Briged, 19 RAMD, 52 Artileri serta 3 Amor di Kem Sungai Layar dan Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani.
Tiga masjid turut menerima sumbangan iaitu masjid Merbok (2), Masjid Bukit Selambau (1) dan Masjid Tanjung Dawai (1) manakala selebihnya diserahkan kepada 2 Kampung iaitu Kampung Perak (1) dan Kampung Jilid 3 (1).
Beliau berkata seperti tahun-tahun sebelumnya, sumbangan lembu korban adalah aktiviti biasa setiap kali sambutan Aidiladha.


Rabu, 24 Oktober 2012

Negara Sekular Hanya Taktik DAP Untuk Pecahkan Umat Islam.


Tindakan DAP yang beria-ia menafikan negara ini sebagai Negara Islam sudah cukup untuk membuktikan sifat anti-Islam/Melayu yang menjadi ‘darah daging’ parti tersebut.   Tidak ada parti-parti yang mewakili kaum bukan Melayu di Malaysia yang menjadikan konsep pentadbiran negara ini iaitu sama ada sekular atau Islam, sebagai satu isu besar sepertimana DAP.
Hujah DAP adalah berdasarkan kenyataan lisan yang dibuat oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama bahawa Malaysia adalah Negara Sekular dan bukan Negara Islam.  Ini dibuktikan dengan laporan The Star pada 9 Februari 1983 iaitu pada ulangtahun bekas Perdana Menteri itu yang ke-80, yang menyatakan “Jangan jadikan Malaysia negara Islam.”
Menurut Kit Siang, pada Februari 13, tahun yang sama, bekas Perdana Menteri yang ke-3, Tun Hussein Onn pula menyatakan bahawa beliau menyokong pendirian Tunku yang menolak negara Islam.
Jika kenyataan lisan bekas Perdana Menteri pertama diangkat sebagai satu penghisytiharan dan dijadikan asas untuk menentukan konsep pentadbiran negara, maka Kit Siang juga wajib mengambilkira  kenyataan lisan oleh bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang lain yang sebaliknya mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.
Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ke-4 mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Gerakan.  Beliau dengan tegas mengisytiharkan seperti berikut:  “Umno ingin menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam.”

Begitu juga dengan Perdana Menteri ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 17 Julai 2007.

Ketika menjadi Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyatakan bahawa “Islam adalah agama rasmi dan Malaysia adalah sebuah negara Islam,” ketika Persidangan Antarabangsa tentang Peranan Negara Islam Dalam Dunia Globalisasi.
 
 
Dan kini, setelah Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Malaysia terus mendapat pengiktikrafan bukan sahaja sebagai Negara Islam tetapi sebagai Negara Islam contoh dan diakui sendiri oleh Ulama tersohor dunia termasuk antara yang paling disegani, iaitu Sheikh Yusuf Al-Qaradawi.  Dalam surat penghargaan khas beliau ke atas sumbangan Malaysia kepada dunia Islam, beliau menyatakan, “Lebih penting, Malaysia telah diiktiraf sebagai antara Negara Islam yang mempunyai strategi pembangunan mengagumkan dan terbuka, kini menjadi pusat rujukan dan contoh bagi dunia Islam.
Dengan mengambil kira semua kenyataan lisan, pengisytiharan serta pengakuan bertulis mengenai sama ada Malaysia adalah Negara Islam atau Sekular, maka kita akan dapati bahawa 2 bekas Perdana Menteri menyatakan Malaysia adalah Negara Sekular, dan 2 bekas Perdana Menteri termasuk Perdana Menteri kita pada hari ini, iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak telah menyatakan bahawa Malaysia adalah Negara Islam.
Oleh itu, tidak ada sebab bagi Kit Siang untuk meletakkan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sebagai mengatasi kenyataan bekas-bekas Perdana Menteri yang lain.
Dari sudut yang lain pula, Kit Siang tidak wajar berpegang kepada kenyataan bekas Perdana Menteri semata-mata, tetapi perlu melihat perkara ini secara keseluruhan, iaitu perlembagaan dan landskap masyarakat negara ini.
Beberapa Ulama sepakat mentakrifkan Negara Islam seperti berikut:  satu tempat yang berada dibawah pemerintahan orang Islam dan tandanya ialah apabila orang Islam aman di dalamnya serta masyarakatnya dapat menyeru dakwah Islam tanpa ada rasa takut dan bimbang, serta dilaksanakan di dalamnya hukum-hukum ke atas orang kafir zimmi, manakala golongan ahli bid’ah tidak bermaharajalela menekan ahli Sunnah.
Menurut Hassan al-Banna, sebuah kerajaan Islam ialah kerajaan di mana para pemimpinnya menunaikan kewajiban Islam, tidak melakukan maksiat dan mereka menjadi pelaksana hukum-hakam Islam dan pengajaran dalam dirinya.
Negara Islam mementingkan keadilan sejagat yang sesuai dengan kedudukan manusia menurut kemampuan masing-masing kerana tidak ada manusia yang boleh menganggap dirinya istimewa dalam melaksanakan perintah Allah termasuk pemimpin dan juga Ulama, kerana undang-undang Allah SWT itu turut berlaku keatas semua.
Dalam bahasa mudah bagi Umat Islam ialah Negara Islam itu terbentuk atas dasar niat dan matlamat yang tidak mengabaikan tuntutan Islam.  Tetapi Negara Sekular terbentuk atas dasar kuasa di mana ia membolehkan matlamat menghalalkan cara.
Jelas berdasarkan fakta-fakta di atas bahawa Malaysia adalah Negara Islam, dan bagi Kit Siang untuk menafikannya dengan hanya berdasarkan satu alasan iaitu kenyataan Tunku Abdul Rahman tentulah tidak boleh diterima langsung.
Matlamat Kit Siang untuk membangkitkan soal ini tidak sukar untuk dibaca.  Beliau sebenarnya hanya ingin memecahbelahkan Umat Islam dengan membangkitkan keraguan terhadap kerajaan Islam.
Namun, di masa yang sama, beliau juga sebenarnya secara tidak langsung mengesahkan bahawa perjuangan DAP adalah untuk menegakkan Negara Sekular dan bagi PAS untuk terus bersama mereka, menunjukkan bahawa Umat Islam di dalam PAS turut memperjuangkan yang sama.  Logiknya, PAS wajar memberi respon segera sama ada untuk menyokong atau sekadar bermain politik dengan menempelak DAP kerana memperjuangkan Negara Sekular.
Jika PAS benar-benar memperjuangkan Islam dan tidak memegang prinsip matlamat menghalalkan cara, maka kenyataan Kit Siang ini wajar dijadikan titik noktah kesepakatan mereka bagi mengelak dari turut bersubahat memperjuangkan Negara Sekular.

Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bantu golongan OKU.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato" Hj Tajul Urus Mat Zain bersama pengarah Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah, Zulkiply Ramli melihat kraftangan yang dihasilkan pelatih pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) di Bedong baru-baru ini.

Bilangan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri Kedah yang telah didaftarkan pada tahun ini mencecah 13,352 orang yang mana dari jumlah itu, daerah Kuala Muda sahaja mencatat seramai 4,464 orang.

Menurut Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Kedah , Zulkiply Ramli, golongan itu layak menerima pelbagai bantuan yang disediakan oleh kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pendaftaran golongan sebegini akan diteruskan.

"Langkah yang diambil oleh kerajaan pusat untuk menjaga kebajikan serta menaiktaraf kehidupan OKU ini adalah suatu perkara yang amat baik,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Ahli Jawatankuasa Bersama Warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daerah Kuala Muda dan Hari Anugerah Cemerlang Tahun 2012 di Kompleks Pusat Khidmat Setempat (PKS) Bedong di sini, baru-baru ini.

PDK merupakan pusat pemulihan khas bagi golongan OKU dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).Antara latihan yang diberikan termasuk Pengurusan diri sendiri, menulis, membaca, mengira dan melukis, latihan vokasional serta pelbagai latihan asas.
Tambahnya untuk tahun ini sahaja sebanyak RM1.5 juta telah diperuntukkan bagi memberi bantuan kepada pelatih PDK manakala peruntukkan bagi membangunkan 32 buah PDK di negeri Kedah berjumlah RM5.6 juta.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan langkah diambil pengurusan PDK daerah Kuala Muda bagi mengadakan program seumpama ini adalah wajar dan perlu diteruskan.

Sementara itu, Pengerusi perhimpunan, Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata, aktiviti sebegini berjaya mewujudkan hubungan baik dan perkongsian di kalangan ibu bapa dan pelajar di semua pusat PDK di Daerah Kuala Muda.

"Sesungguhnya, mereka yang belajar di PDK boleh menjadi cemerlang dan berjaya jika bimbingan terus diberikan," katanya.

Sabtu, 20 Oktober 2012

Mangsa Kebakaran Dapat Rumah Baru

Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain menyerahkan kunci rumah baru kepada Nor' In @ Norini Md Isa
di Sungai Lalang, semalam.

SUNGAI PETANI - Ibu tunggal Nor' In@ Norini Md Isa, 46 bersama  5 orang anak gembira apabila mendapat rumah baru sumbangan (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pinang, Sungai Lalang sebulan lalu.
Penyerahan kunci rumah tersebut disempurnakan oleh penyelaras parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain di sini, semalam.
Tajul Urus yang juga merupakan Ketua UMNO bahagian Merbok berkata, penyerahan ini merupakan tanda keprihatinan Barisan Nasional (BN) kepada permasalahan yang dihadapi rakyat.
Menurutnya, rumah KEDA yang sedia ada ini telah diperbaiki semula sebelum diserah kepada mangsa dan berharap ia dapat meringankan bebanan keluarga mangsa.
Beliau turut menjelaskan, pihaknya juga telah melengkapkan rumah itu dengan kemudahan elektrik dan bekalan air.
Bagi Nor' In@ Norini Md Isa pula, beliau bersyukur serta mengucapkan ribuan terima kasih atas pertolongan dan keprihatinan  Dato' Hj. Tajul Urus sehingga mereka sekeluarga mendapat tempat tinggal baru setelah rumahnya hangus terbakar pada 7 Sept yang lalu.

Selasa, 16 Oktober 2012

Fakta Scorpene Dan PTPTN yang wajib diketahui


Rancangan pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan yang kini dipolitikkan oleh pakatan pembangkang, sebenarnya telah dibuat pada 1991 dan mendapat kelulusan pada 1995 iaitu ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan.

Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip mendakwa, Anwar mengetahui perkara tersebut kerana sebagai menteri berkenaan, beliau bertanggungjawab meluluskan pembelian kapal selam berkenaan ketika itu.
"Segala-galanya telah dibentangkan di Parlimen pada persidangan yang lalu tentang perjanjian pembelian Scorpene. Rupa-rupanya rancangan hendak beli kapal selam dibuat sejak 1991. Pada 1995, Kementerian Kewangan meluluskan proses pembelian kapal selam dengan harga yang ditetapkan.
"Siapa Menteri Kewangan ketika itu? Anwar Ibrahim. Dia lulus waktu itu, dia yang beri kelulusan dan tangan dia yang tandatangan dokumen kelulusan. Hari ini, dia mengelirukan rakyat dengan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima komisen," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Rapat Umum Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Dewan Datuk Ahmad Said, Kampung Sungai Rokam di sini malam tadi.
Dalam ceramah itu, Muhammad Zahid turut meminta rakyat tidak terpengaruh dengan janji-janji manis Anwar termasuk menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan menurunkan harga minyak.
Katanya, semasa menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri dahulu, Anwar menolak desakan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) agar kadar faedah pinjaman PTPTN sebanyak empat peratus dikurangkan.
"Mana ayat dia dahulu adat berhutang mesti bayar? Sebab hendak gula-gulakan rakyat, dia buat janji macam ini. Zaman Najib, peminjam PTPTN hanya dikenakan kadar faedah satu peratus dan kalau pandai belajar, mereka tidak perlu bayar. Ini untuk menggalakkan anak-anak kita belajar," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, orang Melayu dan Islam tidak ada pilihan melainkan menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti jika mahu kedudukan Islam dan hak keistimewaan orang Melayu tidak digugat.



Malaysia sambut Aidiladha 26 Oktober


Umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidiladha pada 26 Oktober, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad.
"Bagi menyempurnakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengisytiharkan 1 Zulhijah, 1433 Hijrah ialah pada 17 Oktober 2012.
"Oleh yang demikian, Hari Raya Korban bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Jumaat 26 Oktober 2012," katanya dalam kenyataan di sini. - BERNAMA

Isnin, 15 Oktober 2012

Praktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa -Tajul


Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain melihat sebuah lukisan yang dibuat dari kulit kayu  
yang dihasilkan  penuntut jabatan seni visual IPG kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Semalam.

Seni adalah sesuatu yang halus dan budaya adalah cara hidup.Dalam sesuatu  bangsa seni budaya itu akan mencerminkan keagungan dan martabat bangsa itu.

Penyelaras Parlimen Merbok, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain berkata kerana itu adalah penting untuk mana-mana bangsa menjaga serta memartabatkan seni budaya bangsanya agar tidak hilang ditelan zaman.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penutupan rasmi Program Merakyatkan Seni Dan Budaya (PMS)-Bahasa di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani semalam.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara Negeri Kedah, Mohd Rizal Ismail.

Tajul berkata, tidak mungkin sesuatu yang tidak direstui oleh sesuatu bangsa adalah seni dan budaya bangsa itu, sebagai contoh bagi orang melayu mempunyai adad resam,  dan adab resam itu pula bukan saja dari segi perlakuan dan tindakan tetapi juga bahasa.

Tambahnya pada hari ini, perubahan dalam taraf sosial dan cara hidup secara tidak langsung telah mengubah bahasa sesebuah masyarakat. Masyarakat sering didedahkan dengan pelbagai bentuk dan nilai-nilai budaya bahasa yang baharu yang mendorong ke arah penyusutan penggunaan bahasa halus.

Ini ditambah kecenderungan generasi kini dalam mereka bentuk bahasa yang telah mengakibatkan penyusutan dalam penggunaan bahasa halus sedangkan bahasa halus ialah satu elemen yang turut membantu pembentukan sahsiah yang baik dalam masyarakat.

Justeru beliau menggesa agar semua pihak khususnya generasi muda agar kembali mempraktikkan kehalusan serta kesantunan dalam berbahasa.

"Kegagalan masyarakat hari ini dalam mempraktikkan penggunaan bahasa halus sedikit sebanyak telah menyumbang ke arah wujudnya budaya lisan yang biadab,  kasar serta tanpa segan-silu,

Pelbagai bentuk budaya sosial serta perlakuan biadap termasuk terhadap pemimpin negara dilakukan secara terbuka, padahal sekiranya penggunaan bahasa halus dapat digunakan, tentu sahaja dapat membendung kebiadaban pertuturan lisan serta memperlihatkan kepada segenap lapisan masyarakat tentang budaya budi bahasa yang mencerminkan kehalusan dan ketertiban sesebuah masyarakat," ujarnya.




Isnin, 8 Oktober 2012

Kapal Selam: Akhirnya Suaram dan Malaysiakini kantoi berbohong




Saban hari mereka dok kelentong kononnya kes perbicaraan penyelewengan pembelian kapal selam negara akan bermula dan telah bermula di Perancis.

Entah berapa banyak sudah duit orang ramai yang mereka kutip kononnya untuk jamuan makan malam bagi menanggung kos guaman perbicaraan kes kapal selam di Perancis.

Akhirnya hari ini orang Perancis sendiri yang bersuara untuk mendedahkan perkara sebenar.....


Tiada Perbicaraan Di Perancis Berhubung Scorpene, Kata Pendakwa Terkemuka Perancis


KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.

Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.

"Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu (organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan kini seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.

Berikutan satu aduan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai hak asasi manusia, yang difailkan pada 2009 mengenai sebuah syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam itu, beliau mendedahkan bahawa dua "hakim siasatan" bebas memulakan siasatan mereka awal tahun ini.

Charpenel berkata di Perancis, seperti negara-negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua siasatan dibuat sepenuhnya secara rahsia.

Beliau berkata adalah hak bagi sesiapapun untuk memfailkan aduan dan berikutan sifat rahsia siasatan itu, sesetengahnya beralih untuk mengadu kepada media.

Beliau menjelaskan bahawa untuk kes-kes tertentu di Perancis, Kementerian Keadilan akan meminta seorang hakim bebas, meminta "hakim siasatan" untuk menyiasat.

"Dia hanya seorang penyiasat. Ini adalah sistem lama yang bermula sejak era Napolean. Jika hakim siasatan mahu seseorang pergi ke Malaysia, dia perlu memohon dengan kerajaan anda kerana kami ada apa yang dipanggil Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama. Kerajaan Malaysia boleh kata 'ya' atau 'tidak'. Ia perlu diputuskan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Seorang hakim siasatan Perancis tidak boleh membawa bagasinya, menaiki kapal terbang dan pergi ke Malaysia dan meminta seseorang menjawab soalan-soalannya. Ini adalah mustahil, ianya bertentangan dengan undang-undang Perancis dan ia juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata Charpenel.

Beliau menjelaskan di Perancis, seperti di tempat-tempat lain, perjalanan undang-undang tidak boleh ditentukan oleh media.

Seperti yang dikatakannya, "Di Perancis, masa keadilan berbeza daripada masa media. Sudah tentu, media perlu data-data, maklumat, berita. Ia adalah semula jadi tetapi siasatan itu agak berbeza. Ia adalah sama, sama ada di Perancis atau di Malaysia.

"Dan ia menjadi rahsia. Kami kini dalam langkah pertama, mungkin, kami dapat satu lagi langkah, mungkin tidak, dan ia adalah terlalu awal untuk bercakap lagi.

Ditanya mengenai laporan media bahawa peguam-peguam Perancis yang mewakili Suaram dalam saman itu akan datang ke Malaysia untuk memberi taklimat kepada anak guamnya, Charpenel berkata mana-mana peguam dari mana-mana negara, bebas untuk berbuat demikian kerana dia dibayar oleh anak guamnya.

"Dia bebas bercakap dengan media, itu adalah kebebasan atau hak asasi manusia. Tetapi dia bukan seorang pendakwa. Dia juga bukan seorang hakim siasatan. Dia bukan seorang pegawai."

Pada April tahun ini, ahli-ahli politik pembangkang tempatan di sini malah telah meminta pegawai Malaysia untuk memberi keterangan di Paris atau berdepan pemulauan dalam Kesatuan Eropah.

"Perbicaraan adalah satu perbicaraan dengan semua peraturan. Siasatan adalah adalah satu perkara lain," kata Charpenel mengenai maklumat salah yang dijana oleh portal-portal berita tertentu berhubung dakwaan bahawa satu perbicaraan sudahpun berjalan.

Sabtu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara menjelaskan urus niaga Scorpene dijalankan mengikut prosedur perundangan.


Kerjasama Pas dan DAP bercanggah kehendak Islam - Shahnon Ahmad

Perjuangan politik Pas kini tidak lagi menepati kehendak Islam apabila parti itu bekerjasama dengan DAP, kata Sasterawan Negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad.


Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Pas sekarang ialah hanya menuruti kehendak politik DAP dan pendekatan seumpama itu bercanggah dengan kehendak Islam kerana Pas sepatutnya memimpin dalam memperjuang Islam.

Shahnon yang juga anggota Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah S.A.W ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan beragama Islam.

"Sepatutnya DAP tertakluk kepada peraturan Islam kalau mereka hendak bekerjasama dengan Pas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau yang juga bekas anggota Parlimen Sik berkata dasar Pas sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP.

DAP sebelum ini telah menyatakan tidak akan menyokong penubuhan negara Islam di negara ini seperti yang dimahukan Pas.

Shahnon yang pernah bertugas sebagai Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan Rasulullah SAW bekerjasama dengan kaum Yahudi, Kristian dan munafik bukanlah seperti kerjasama Pas dan DAP sekarang kerana ketika itu Islam yang memerintah dan memimpin kaum-kaum berkenaan.- BERNAMA

Undi pembangkang sama seperti undi Soros


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.

Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.

Tun M berkata soros menggunakan dana untuk meletakkan
 orang yang disukainya memerintah negara yang disasarkan.

Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.

''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times.

Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti yang berlaku di Georgia.

Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.

Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.

''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.

''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.

Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran Soros.

''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.

Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.


Sabtu, 6 Oktober 2012

Rakaman Penuh Program Dialog RTM1 - Dasar Baharu PTPTN.

Rakaman penuh program 'Dialog' bertajuk Dasar Baharu PTPTN yang disiarkan secara langsung di RTM1 pada 3 Oktober, 2012.

Dalam program itu Ketua UMNO Bahagian Merbok yang juga ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain merupakan salah seorang ahli panel program tersebut..


Isnin, 1 Oktober 2012

Bajet PR Bajet Liberalisme?

Kerana terlalu ingin menjadi Perdana Menteri sebelum mati, Anwar Ibrahim sentiasa memainkan peranan sebagai Perdana Menteri apabila saja berpeluang.  Jika Datuk Seri Najib mengadakan program mesra rakyat dan meninjau keadaan rakyat, maka beliau pun ingin berbuat yang sama dengan mendekati rakyat sambil meninjau pengangkutan awam seperti LRT.

Jika Datuk Seri Najib ke sana ke mari dengan pengawal peribadi dan menaiki jet peribadi maka beliau juga ingin menjalani kehidupan yang sama.  Dan yang paling hebat ialah walaupun belum menjadi Perdana Menteri, Anwar ingin sekali membentangkan bajet seperti seorang Perdana Menteri.

Kerana itu, walaupun Anwar tidak punya akses kepada maklumat terperinci kewangan negara bagi melayakkannya membentangkan bajet secara tepat, itu tidak menghalang beliau untuk terus melakonkan watak Perdana Menteri dan turut membentangkan bajet.

Kerana tidak berdasarkan maklumat yang perlu, maka kita tidak perlu pun mendengar pembentangan Anwar kerana sudah pasti Bajet yang dibuat ‘di atas angin’ adalah Bajet Tong Kosong.  Untuk sesiapa mempercayai dan menaruh harapan kepada bajet sebegini, amatlah menyedihkan.

Namun, yang menjadikan kita agak berminat untuk mendengar Bajet Alternatif ini ialah kerana sifat parti PR itu sendiri yang tidak sepakat.  Kita ingin melihat apakah ‘rupa’ bajet yang berdasarkan prinsip Islam, Malaysian-Malaysia dan juga liberal.

Dan seperti yang dijangka, tiada apa-apa yang lebih ‘Islam’ dari BN dalam bajet PR.  Sebaliknya, ia lebih mengutamakan golongan kaya dan berada walaupun kelihatan seolah-olah membantu yang miskin dan sederhana.  Pendek kata, ia lebih menepati konsep Malaysian-Malaysia dan liberal.

Tiada peruntukan yang digariskan untuk mengekang pertumbuhan pusat-pusat maksiat.  Tiada juga peruntukan khas bagi mengatasi masalah murtad yang berpunca dari kemiskinan walaupun masalah ini adalah meruncing di Selangor, iaitu negeri yang diperintah PR.   Malah, kelihatan seolah-olah tiada langsung ‘input’ dari pihak PAS dalam bajet ini.

Selain itu, perancangan PR untuk menghapuskan cukai korporat hanya akan membebankan rakyat biasa kerana akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk satu-satu perkhidmatan dan barangan.  Seperti juga perancangan untuk menurunkan harga dan duti eksais kereta di mana ia akan menjejaskan kos pengeluaran dan pemasangan dan lain-lain di mana menyebabkan negara mungkin terpaksa mengimport barangan dari negara lain.

Akhirnya, yang akan terjejas adalah vendor-vendor Melayu yang dilahirkan oleh syarikat automobil nasional, selain syarikat automobil nasional itu sendiri.  Jika ini berlaku, ia bukan sahaja melibatkan beribu-ribu pekerja tetapi juga, industri automobil nasional dan maruah negara sekali gus.

Jelas, bahawa bajet yang dibentangkan PR adalah tidak menyeluruh, tidak patriotik dan tidak membawa kebaikan untuk jangkamasa panjang terutama untuk membantu bumiputera.

PR berkali-kali menekankan bahawa Bajet tersebut adalah bersifat adil untuk semua kaum dan ungkapan ini dengan sendirinya membawa makna kesamarataan total iaitu yang menjadi tunjang Malaysian-Malaysia idaman DAP.  Sedangkan, kita tahu bahawa kesamarataan total tidak akan membawa keadilan kepada semua kerana hakikat pegangan ekonomi di Malaysia adalah berat sebelah kepada satu kaum iaitu Cina.

Dengan tiadanya mekanisme khusus untuk mengukur tahap sifat perkauman seseorang, adalah sukar untuk kita memastikan bahawa kaum Melayu, India dan lain-lain tidak didiskriminasi oleh kaum yang lebih berkuasa dalam persaingan kek ekonomi ini.

Kita faham bahawa PR ingin menekankan kelemahan dasar kerajaan yang memberi bantuan kepada bumiputera yang dianggap mereka sebagai diskriminasi yang bertulis. Tetapi, PR telah mengabaikan dan menafikan hakikat yang lebih serius yang membelenggu masyarakat Malaysia hari ini iaitu diskriminasi yang tidak bertulis dalam persaingan di sektor swasta dan perniagaan yang dikuasai kaum Cina.

Kesimpulannya, Bajet PR adalah Bajet Liberal yang terbuka dan tidak mengambil kira keadaan sebenar majoriti rakyat.  Tetapi, apa yang nak dihairankan kerana pembentangan Bajet PR bukanlah untuk rakyat, tetapi sekadar untuk ‘mencabar’ BN.  Itu saja.

Walau apapun, yang pasti, PAS tidak punya suara langsung dalam penyediaan Bajet berkenaan.  Tanpa keprihatinan dan ‘input’ dari PAS, bagaimana kita boleh memastikan kaum Melayu akan terbela di bawah Pakatan Rakyat?


Jangan abai pendidikan awal - Tajul


Pendidikan awal merupakan perkara yang amat penting dalam proses pembesaran kanak-kanak, oleh itu ibu bapa diseru memainkan peranan dengan menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di peringkat prasekolah.

Penyelaras Parlimen Merbok, Datuk Hj. Tajul urus Mat Zain berkata, selain menyediakan mereka untuk persekolahan sebenar, kanak-kanak ini akan mula melangkah dari alam keluarga ke dunia sosial, ketika ini juga mereka berdepan dengan cabaran yang mana bagi kebanyakan kanak-kanak tidak serupa dengan apa yang mereka temui sebelumnya.

"Walaupun prasekolah tidak diwajibkan, namun amat penting bagi ibu bapa menghantar anak mereka mengikuti pendidikan prasekolah di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA), seawal usia empat tahun," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri majlis perasmian penutup hari potensi kanak-kanak Tabika KEMAS peringkat Negeri Kedah.

Selain itu Ibu bapa juga harus memainkan peranan yang penting serta sentiasa mengambil berat tentang pelajaran anak mereka di sekolah.

"Mereka tidak seharus menyerahkan bulat-bulat kepada pihak sekolah dan guru untuk mendidik anak mereka menjadi insan berilmu,” ujarnya.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan pada masa ini Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA)  kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta bertujuan  meningkatkan kemahiran guru serta menambah baik sistem pembelajarannya.