Sabtu, 5 November 2011

Penyerahan Lembu Korban.



Dari Al-Barra, katanya; "Saya mendengar Nabi berkhutbah. Kata beliau: "Pekerjaan kita hari ini (10 Zulhijjah) ialah solat. Sesudah itu pulang dan menyembelih korban. Sesiapa yang berbuat demikian bererti telah menjalankan agama kita." (Sahih Muslim).

Sekolah,persatuan penduduk serta pasukan beruniform sekitar Parlimen Merbok bertuah apabila menerima lembu korban sempena Aidiladha esok.YBhg. Dato' Hj.Tajul Urus Mat Zain selaku penyelaras Parlimen Merbok hari ini menyerahkan sebanyak 40 ekor lembu untuk dikorbankan.Menurut Dato' Hj.Tajul Urus,pada tahun ini jumlah lembu yang disumbangkan adalah lebih banyak berbanding tahun lalu.Beliau menambah,daripada 40 ekor lembu tersebut ,2 ekor adalah sumbangan Pemuda UMNO Merbok,2 ekor sumbangan Ketua Penerangan UMNO merbok,(Dato' Zubir),2 lagi dari Jabatan Hal Ehwal Khas(JASA),3 ekor sumbangan peribadi beliau manakala selebihnya dari pejabat Penyelaras Parlimen.

"kita membuat pemilihan berdasarkan permohonan dan juga kawasan-kawasan yang susah,yang perlu kita sedekah,mereka akan membuat korban samada pada hari raya pertama,kedua atau ketiga",katanya.


Hadir sama wakil-wakil dari pihak penerima sumbangan tersebut.

Jumaat, 4 November 2011

Silat Selendang Merah.

'Pertubuhan Seni Silat Selendang Merah Ibu Pertiwi Kedah' malam ini mengadakan majlis perasmian gelanggang barunya di Amanjaya Zon Anggerik yang disempurnakan oleh YBhg. Dato Hj.Tajul Urus Mat Zain.Pertubuhan itu mempunyai 14 cawangan dengan gelanggang pusatnya terletak di Kampung Bukit Belah Batu Dua,jalan kuala ketil.


Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Selendang Merah Wan Yahya Wan Chik berkata,gelanggang Amanjaya Zon Anggerik telah pun memulakan sesi latihan sejak Jun lalu namun tanpa peralatan serta bantuan dari mana-mana pihak.Mereka hanya berlatih di atas padang permainan yang diterangi cahaya pelita.Dengan bantuan pihak rukun tetangga (KRT) serta perhatian dari YBhg. Dato' Hj.Tajul Urus selaku penyelaras Parlimen Merbok,kini mereka dapat berlatih dibawah cahaya lampu kalimantang yang menerangi gelanggang baru yang berbumbung.


Dato' Hj.Tajul Urus dalam ucapannya berkata "sebagai penyelaras parlimen saya mengalu-alukan kegiatan sebegini di kawasan-kawasan taman perumahan supaya masa lapang kalangan belia dapat diisi dengan perkara yang berfaedah seperti silat dan sebagainya.

"Saya berpendapat bahawa selain kita belajar kaedah mempertahankan diri,tetapi yang lebih penting adalah disiplin untuk menjadikan kita seorang yang berjaya.Kalau kita belajar silat tanpa kita mematuhi disiplin silat,mungkin kita tidak boleh lagi berjaya dalam seni mempertahankan diri ini".


"Kerana itulah pemerhatian ibubapa selain dari soal pembelajaran di sekolah,pemerhatian kita kepada kegiatan-kegiatan di luar sekolah khususnya selepas mereka pulang ke rumah adalah perkara yang penting".

"Kalau semua pihak khususnya ibubapa memberi perhatian kepada anak-anak ini,saya mempunyai keyakinan bahawa mereka akan membesar sebagai orang yang memberi manfaat,yang akan berjasa bukan sahaja kepada keluarga mereka tetapi juga kepada bangsa dan negara" katanya.

Beliau turut menyatakan akan memberi perhatian kepada permohonan untuk mengadakan fasiliti sukan seperti gelanggang bola jaring dan gelanggang takraw yang dicadangkan oleh pengerusi KRT Mejar(B) Ibrahim Hashim.

Sebaik selesai merasmikan gelanggang tersebut,YBhg. Dato' turut membuat lawatan ke Bilik Gerakan SRS Zon Anggerik 9 untuk melihat  peralatan yang telah dibeli oleh Persatuan Penduduk yang sebelum ini menerima peruntukan RM10,000 bagi membeli keperluan serta melengkapkan peralatan termasuk khemah untuk kegunaan masyarakat setempat.




Khamis, 3 November 2011

Kebolehan Malaysia Bantu Jemaah Haji Tidak Dapat Ditandingi - PM.


Najib Tun Razak berucap kepada jemaah ketika mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah, semalam.


MEKAH - Perdana Menteri berkata, sokongan kerajaan yang kuat serta pengurusan yang cekap oleh pihak yang bertanggungjawab, menjadikan urusan umat Islam di Malaysia untuk mengerjakan ibadah haji menjadi amat mudah serta efisien dan kehebatannya itu tidak dapat ditandingi negara lain di dunia.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia disebabkan kecekapan kerajaan serta pihak terbabit dalam mencari peluang serta usaha keras menghimpun dana, khusus bagi menambah lagi kemampuan dalam membantu umat Islam mengerjakan ibadah haji.

Beliau berkata, keistimewaan Lembaga Tabung Haji ialah ia dapat menyediakan urusan haji yang amat baik apabila jemaah mendapat pulangan nilai perbelanjaan yang tinggi serta penyediaan makanan, penginapan, pengangkutan, kaunseling, perubatan dan sebagainya.

"Di samping itu, nilai subsidi 20 peratus (diberikan kerajaan kepada jemaah) daripada kos sebenar yang ditanggung jemaah muasassah iaitu kira-kira RM4,300 merupakan nilai yang amat bermakna kepada mereka, tahniah kepada Tabung Haji atas urusan yang dapat sambutan positif dari jemaah haji," katanya dalam satu persidangan akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri bersama rombongannya yang termasuk bonda Najib, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di sini pada kira-kira pukul 9.30 pagi, disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Muasassah Asia Tenggara, Zuher Abdul Hamid.

Najib berkata, kerajaan berusaha memudahkan umat Islam di Malaysia melakukan haji menerusi kaedah yang boleh dilaksanakan dengan bilangan yang ramai.

Menurutnya, hubungan baik negara dengan kerajaan Arab Saudi membolehkan Malaysia sentiasa mendapat pertimbangan sewajarnya dalam perkara itu.

"Sebab itu, apabila mangkat Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan Abdel-Aziz al-Saud baru-baru ini, saya sendiri ambil keputusan untuk datang menziarah, bersama Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) untuk memperlihat betapa berat pandangan kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap hubungan kita yang sangat akrab dengan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Menurutnya, sikap jemaah haji Malaysia serta pengurusan ibadah haji yang baik mendapat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi sehingga ia sentiasa mendapat pujian banyak pihak di sini.

Perdana Menteri berharap rekod pencapaian yang baik dari segi pengurusan ibadah dan sikap jemaah haji dari Malaysia yang ditunjukkan di sini dapat dikekalkan.

Sementara itu, Najib berkata, Malaysia juga seharusnya mencari peluang-peluang perniagaan di sini, termasuk dalam pemerolehan ekuiti dan juga projek jangka panjang.

"Tapi peluang tidak semestinya terbatas kepada Tanah Haram sahaja, tapi mesti menjangkau secara global, asalkan ia patuh kepada prinsip syariah, maka Tabung Haji atau syarikat perlu juga cari peluang di tempat lain di Arab Saudi, tidak boleh membataskan kepada tanah haram sahaja kerana perspektif itu tidak akan menguntungkan," katanya.

Perdana Menteri kemudiannya dibawa menemui kumpulan imam dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang mendapat penajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Sementara itu, Rosmah mengambil peluang untuk melawat bilik rawatan di Hotel Janadiriah sebelum menyertai Najib untuk menikmati jamuan bersama dengan beberapa jemaah haji yang terpilih.

Kedua-dua mereka kemudiannya beramah mesra dengan beberapa jemaah haji di surau sebelum berlepas pulang ke hotel penginapan pada kira-kira pukul 12 tengah hari. - BERNAMA

Rabu, 2 November 2011

Kerajaan Belanja RM12.2 Bilion Untuk Kesihatan Rakyat.


Kerajaan telah menanggung sebanyak RM12.2 bilion memberi penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan kepada penduduk di negara ini dari Januari hingga September tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, jumlah itu merupakan 98 peratus daripada kesuluruhan perbelanjaan kementerian dalam tempoh tersebut yang sebanyak RM12.44 bilion.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang meminta Tiong Lai menyatakan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan dalam memberi rawatan dan ubat percuma kepada rakyat sejak tahun lepas hingga tahun ini, pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tiong Lai berkata, pada tahun 2010, kerajaan telah membelanjakan RM14.45 bilion atau 98 peratus daripada RM14.76 bilion peruntukan tahun itu untuk kemudahan perubatan dan kesihatan.

Katanya, pendapatan yang dikutip oleh kementerian pada 2010 ialah RM311.2 juta dan sehingga September tahun ini, sebanyak RM238.5 juta.

Selain itu, beliau berkata, sehingga September tahun ini kerajaan juga memberikan bantuan lebih RM58 juta kepada pesakit yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara dan Pusat Hemodialisis swasta melalui Tabung Bantuan Perubatan.

Pada tahun lepas sebanyak RM57 juta diberikan melalui tabung itu.

Mengenai pelaksanaan bil terperinci, katanya, sistem yang digunakan oleh sembilan hospital sejak ia dilaksanakan Jun lepas, akan diperluaskan ke semua hospital kerajaan tahun depan.

Katanya, melalui bil yang menunjukkan kos sebenar sesuatu rawatan itu, rakyat akan lebih memahami jumlah subsidi yang telah ditanggung kerajaan dalam setiap rawatan. - Bernama

Selasa, 1 November 2011

Perdana Menteri tiba di Mekah.


MADINAH-Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di sini untuk menunaikan ibadah haji hujung minggu ini.

Pesawat yang membawa beliau serta rombongannya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad di sini kira-kira pukul 9 malam, Isnin (2 pagi hari Selasa waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Gabenor Kota Madinah, Sulaiman Mohammad Al-Jeraisy dan Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof Datuk Syed Omar Al-Saggaf.

Turut berada di lapangan terbang menyambut ketibaan beliau ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abi Musa Asa”ari dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Perdana Menteri turut diiringi bondanya, Tun Rahah Mohamad Noah dan adiknya, Datuk Mohamed Nazim serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Najib dijadual menziarahi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi sebelum berlepas ke Jeddah untuk memasuki kota Mekah bagi menunaikan umrah, esok.

Pada hari Rabu pula beliau akan mengunjungi ibu pejabat Tabung Haji di hotel Abraj Al-Janadiriah di Mekah, dan meluangkan masa untuk bertemu dengan jemaah haji Malaysia yang menginap di hotel itu.

Najib dan isteri akan berwukuf di Arafah pada hari Sabtu ini, bersama lebih tiga juta umat Islam yang lain dari seluruh dunia, yang menunaikan haji tahun ini. - Bernama

Ahad, 30 Oktober 2011

Majlis Penutup Karnival Usahawan Desa 2011.



Setelah berlangsung selama 4 hari dari 27 hingga 30 oktober, Karnival Usahawan Desa(KUD)2011 Zon Utara kini sampai ke penghujung. Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain hari ini hadir bagi mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah(KKLW) Dato' Hasan Malek untuk menyempurnakan majlis penutupan secara rasmi program itu.
Sepanjang karnival itu pelbagai program telah diadakan untuk menarik pengunjung bagi memperkenalkan mereka kepada produk-produk usahawan desa yang mengambil bahagian.Pelbagai produk usahawan desa seperti makanan,kraftangan dan pelbagai produk lain telah dipamerkan di karnival itu.

Pada majlis itu juga Dato' Hasan Malek turut menyampaikan anugerah kepada 5 usahawan cemerlang dari Negeri Kedah.Mereka adalah sebahagian usahawan yang memulakan perniagaan dengan bantuan pelbagai agensi dibawah KKLW iaitu KEDA,KEMAS,RISDA,FELCRA dan juga MARA yang memperlihatkan pencapaian cemerlang dengan pendapatan dari RM78,000 sehingga RM1,440,000.00.

Sementara itu Bernama melaporkan,Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) berjaya melahirkan kira-kira 20,000 usahawan desa di seluruh negara menerusi Karnival Usahawan Desa sejak 2006.

Datuk Hasan Malek berkata, semua usahawan desa terbabit berada dalam senarai bimbingan KKLBW, yang memerlukan modal berbayar kurang daripada RM500,000 termasuk peralatan teknologi.

"Dan daripada jumlah itu seramai sembilan usahawan desa berjaya memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa seperti di Dubai, Arab Saudi, dan Hong Kong.

"Antara produk yang dapat tembusi pasaran luar negara ini kebanyakan makanan seperti roti dan produk berasaskan kayu iaitu kraf tangan,” katanya.


Selain itu katanya, kementerian tersebut juga memadankan usahawan terbabit dengan pasar raya seperti Giant dan Tesco bagi memasarkan produk mereka.

"Semua ini (pasaraya) antarabangsa...kita cuba letakkan produk usahawan kita di syarikat besar untuk dipasarkan,"katanya.


Jumaat, 28 Oktober 2011

Karnival Usahawan Desa 2011.

Forum perdana bersama Dato' mufti Syeikh Muhamad Baderudin Hj. Ahmad

Dato' Hj.Tajul Urus turut bersama
Antara penonton yang hadir



Pada malam tadi telah berlangsung Forum Perdana Ehwal Islam berjudul' 9/10 Rezeki...oh rezeki' oleh Mufti Negeri Kedah,YBhg.Dato' Paduka Syeikh Muhamad Baderudin Hj. Ahmad diprogram Karnival Usahawan Desa(KUD) Zon Utara di Taman Ria Jaya Sungai Petani.
Bagi zon utara,Karnival kendalian Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah(KEDA) dengan kerjasama penyelaras Parlimen Merbok itu akan berlangsung selama 4  hari bermula 27 sehingga 30 oktober dan turut disertai 60 gerai usahawan bersama 6 gerai dibawah kementerian kemajuan luar bandar dan wilayah(KKLW).

Pelbagai program telah di atur sepanjang Karnival Usahawan Desa 2011 Zon Utara,antaranya:

27 Oktober 2011
-Perhimpunan mega bike's utara malaysia,pertandingan bike's explorace KUD 2011.pertandingan ukiran buah-buahan,pertandingan lipatan origami,pertandingan gubahan bunga,forum perdana ehwal islam.

28 Oktober 2011
-Pertandingan memasak,sepak raga bulat juara KUD 2011,pertandingan 'fear factor',pertandingan sumpitan serta pertunjukan wayang kulit seri asun pada sebelah malam.

29 Oktober 2011
-Pertandingan auto show mega utara,pertandingan gubahan hantaran pengantin,perhimpinan kelab kereta terbesar,pertunjukan fesyen dan busana muslimah,persembahan pentas bersama artis tempatan.

30 Oktober 2011
-Pertandingan hiasan kek,pertandingan teh tarik,pertandingan kolaj keluarga,pertandingan audio sistem kereta terbesar utara,pertunjukan audio blaze mega KUD 2011 Zon Utara.


Orang ramai dijemput hadir..

*Mana yang dah lepas tu lepas la,yang belum jom kita pi ramai-ramai...

Selasa, 25 Oktober 2011

Penyampaian Sumbangan Deepavali.


Satu majlis penyampaian sumbangan sempena sambutan deepavali diadakan di Tadika Gemilang Murni,taman Ria pada malam ahad lalu.Pada majlis itu YBhg.Dato turut menyumbangkan khemah beserta kelengkapan jamuan kepada penduduk India disitu.Sementara untuk tadika pula,YBhg. Dato' telah sudi menaja pakaian sekolah untuk tahun hadapan kepada semua murid tadika itu bagi sesi 2012.
YBhg. Dato' turut memberi 'duit raya' kepada kanak-kanak.

En.Saravanan selaku pengerusi majlis mengucapkan terima kasih kepada YBhg.Dato' atas semua sumbangan untuk penduduk dan juga tadika tersebut."kita harap Tadika ini akan berkembang dengan lebih pesat lagi pada tahun hadapan dengan sokongan daripada Dato' ",katanya.


Bekalan Lembu Ibadat Korban Cukup.

NOH Omar diberi penerangan mengenai produk berasaskan coklat ketika melawat gerai pameran pada Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani UiTM Merbok, Sungai Petani, semalam.


Bekalan lembu untuk menampung keperluan umat Islam di negara ini melakukan ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha bulan depan adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.



Menurut beliau, banjir buruk yang melanda Thailand sejak beberapa minggu lalu tidak menjejaskan bekalan kerana haiwan tersebut telah dibawa masuk secara berperingkat sejak sebulan lepas.
Katanya, sehingga semalam kira-kira 15,000 lembu telah diimport dari negara jiran itu dan jumlah import yang diteruskan dari semasa ke semasa diyakini dapat menampung keperluan pada musim perayaan berkenaan.
"Kebanyakan lembu untuk korban ini diimport dari Thailand walaupun banjir buruk melanda negara itu tetapi kita sudah sediakan perancangan dari awal untuk membawa masuk bekalan ini secara berperingkat sejak sebulan lalu.
"Orang ramai tidak perlu risau (kerana) bekalan tersebut dijamin mencukupi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di Merbok dekat sini hari ini.
Menurut Noh, pihaknya melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) turut mengetatkan syarat mengimport bekalan tersebut pada tahun ini bagi mengelak sebarang jangkitan penyakit.
"Syarat utama lembu mesti dikuarantin di negara asal selama 21 hari dan apabila bebas daripada sebarang penyakit sepanjang pemeriksaan dijalankan barulah ia dibenarkan masuk.
"Selepas itu haiwan tersebut juga akan dikuarantin selama 10 hari di pusat pemeliharaan di sini sebelum dibenarkan diagih kepada orang ramai. Saya berharap orang ramai tidak bimbang kerana pemeriksaan rapi sudah dilakukan," katanya lagi.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan lembu korban agar mendapatkannya daripada saluran yang betul bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti haiwan tersebut dijangkiti penyakit.
"Permit untuk membawa masuk haiwan ini oleh JPV telah berakhir pada 23 Oktober lalu selepas ini tidak ada lagi lembu yang akan dibawa masuk bagi menjamin kesihatannya," kata beliau.-Utusan.

Isnin, 24 Oktober 2011

Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani.



YBhg. Dato' Tajul Urus Mat Zain hari ini menghadiri majlis pelancaran Kelab Usahawan Siswazah Tani atau 'MYAGROSIS' oleh Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani,Dato' Seri Noh Omar di UiTM Merbok,Kedah.




Program tersebut merupakan satu pendekatan FAMA dibawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani(MOA) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi(MOHE) dalam usaha membudayakan keusahawanan dalam sektor pertanian kepada para siswazah.
Objektif penubuhan kelab ini antara lain ialah melahirkan generasi usahawan siswazah tani moden yang kreatif dalam mengamalkan pelbagai kaedah teknologi untuk mencapai pendapatan tinggi dalam bidang perniagaan tani,meningkatkan produktiviti pengeluaran dan pemasaran pertanian untuk memenuhi keperluan makanan rakyat di negara ini yang semakin meningkat.
Kelab Usahawan Siswazah Tani yang ditubuhkan di UiTM dirancang akan dipanjangkan ke semua IPTA.Impaknya untuk menjadikan siswazah Universiti atau IPTA sebagai satu generasi usahawan moden yang berpendapatan tinggi dalam bidang pertanian menjelang tahun 2020.



Dato' Seri Noh Omar ketika sidang media menyatakan hari ini adalah hari bersejarah dimana MyAgrosis dilancarkan secara rasmi di UiTM merbok,dimana sektor pertanian dibawa masuk kedalam kampus.IPTA dinegara ini menurutnya,masih mempunyai banyak tanah-tanah kosong.
"Kita nak gunakan tanah terbiar sebab sekarang di negara kita 60 peratus sayur ditanam di tanah setinggan (tidak kekal) dan tidak ada tanaman sayur secara ladang.Macam di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Merbok ini ada 170 ekar (68.8 hektar) tanah kosong.Kalau dirancang dengan baik, ia boleh jadi ladang kontrak sekali gus menampung masalah bekalan sayur dari negara jiran". 
Beliau berkata buat permulaan, sebanyak RM34 juta diperuntukkan bagi menjayakan projek itu, iaitu RM10 juta masing-masing disediakan Agrobank dan Tekun Nasional, manakala RM14 juta lagi oleh kerajaan yang diumum menerusi Belanjawan 2012 bagi program ladang kontrak.
Dengan menyertai kelab berkenaan, siswazah akan memperolehi banyak manfaat kerana hasil akan dijual terus kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) untuk dipasarkan di pasar-pasar tani.
"Y.A.B Perdana Menteri sendiri pernah meminta diberi penekanan kepada penanaman sayur,jadi saya cadangkan MyAgrosis memberi tumpuan tanam sayur"katanya.
Setiap peserta juga akan diberi kad MyAgrosis bagi memudahkan mereka mendapat pinjaman daripada Tekun dan Agrobank selepas menamatkan pengajian nanti selain boleh membuka akaun Agrobank secara percuma.
Peserta juga akan dilindungi insurans kemalangan peribadi sebanyak RM10,000 dan setiap hasil mereka akan menggunakan jenama MyAgrosis sendiri.
Pelancaran kelab itu di UiTM Merbok hari ini merupakan projek perintis yang membabitkan 366 siswazah dan hasil pertama dijangka dituai oleh Perdana Menteri dalam tempoh dua bulan sempena pelancaran Kelab MyAgrosis peringkat kebangsaan di IPTA berkenaan yang dijadualkan pada bulan Disember ini.
Program MyAgrosis turut melibatkan pelbagai agensi dibawah kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani lain seperti Jabatan Pertanian,Jabatan Perikanan,MARDI,LKIM,Lembaga Pertubuhan PeladangMADA serta MPIB.



*Hasil cadangan Profesor Madya Hj. Kamal Bahrin Kelab Usahawan Siswazah Tani ini dipanggil                                     "MYAGROSIS" (MY=Malaysia;Agro=Agriculture;Sis=Siswa/siswi).                                         

Sabtu, 22 Oktober 2011

Perjumpaan Dengan Ketua-Ketua Cawangan MIC..



YBhg.Dato'Hj.Tajul Urus Mat Zain petang ini mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua MIC dari 58 cawangan dalam Parlimen Merbok.Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan  isu-isu berbangkit berkaitan komponen BN tersebut.Majlis tersebut berlangsung selama kira-kira 2 jam dan berakhir pada jam 6.30 petang.


Khamis, 20 Oktober 2011

Program Kemasyarakatan.


Ceramah agama bertajuk 'Rasulullah S.A.W Perintis Gagasan 1 ummah' oleh Ustaz Mohammad Neezam Ariffin dari UITM Merbok telah  diadakan di Masjid Al-Amin Sungai Layar malam ini sebagai permulaan kepada program kemasyarakatan dan juara rakyat anjuran Penyelaras Parlimen Merbok.




Program yang diadakan dengan kerjasama PTPTN,UUM dan UITM Merbok itu dimulakan dengan solat maghrib berjemaah serta disusuli bacaan yassin sebelum diikuti solat isyak.



Program itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi YB.Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin jam 10.30 pagi esok di Masjid Al-Majidi (Masjid Kuning) Sungai Layar Hujung.


Bersama Teman Seperjuangan..

Selasa, 18 Oktober 2011

Pemimpin Bersama Masyarakat ..




Kampung Sungkap Para adalah sebuah kampung yang agak terpencil di Parlimen merbok,terletak kira-kira 12 kilometer dari pekan Sungai Lalang.Penduduk disini seramai kira-kira 500 orang terdiri dari 2 kaum iaitu melayu dan india.

Menurut naib pengerusi MIC Bahagian Merbok En.Balan,di kampung ini terdapat 2 jenis sekolah iaitu sekolah tamil dan sekolah kebangsaan.Beliau juga menjelaskan,di kampung ini BN banyak mengadakan program-program samada untuk masyarakat india mahupun masyarakat melayu.Terbaru sebatang  jalanraya juga telah dibina yang menuju terus ke kampung sungkap para.Pada program BN yg lepas juga sebanyak 22 buah rumah telah menerima bantuan membaiki bumbung  manakala baki 18 rumah lagi masih belum diperbaiki.

Selain itu,tadika dan gelanggang badminton juga masih belum siap termasuk tidak mempunyai pagar.


YBhg.Dato’ Hj. Tajul Urus Mat Zain ketika ditanya perkara tersebut  menjelaskan beliau akan cuba sedaya upaya mendapatkan peruntukan bagi tujuan itu bersesuaian dengan konsep BN yang membela semua kaum tidak kira dimana saja mereka tinggal,mereka tidak dipinggirkan,katanya.

Beliau hadir bagi memberikan sumbangan kepada  60 keluarga masyarakat india di dewan UMNO Kampung Sungkap Para sempena perayaan Deepavali yang akan tiba tidak lama lagi.





Pemimpin lain yang turut hadir pada program itu ialah penyelaras DUN Bukit Selambau En.M.L Maran,pengerusi Persatuan Kebajikan Kaum India Kuala Muda En.Nallappan JP,ketua pemuda UMNO Merbok En. Shaiful Hazizy,Timbalan ketua pemuda UMNO Merbok saudara Anuar,serta En. Rama dari Persatuan Prihatin Masyarakat India.

Program anjuran bersama  oleh Persatuan Kebajikan Masyarakat India Kuala Muda dan Pemuda MIC Bahagian Merbok turut memberi pemeriksaan dan rawatan percuma kepada masyarakat disitu oleh Dr.Joginder Singh yang juga merupakan ketua penerangan MIC Negeri Kedah manakala sumbangan Deepavali pula adalah dari YBhg. Dato' sendiri selaku Penyelaras Parlimen Merbok.


Selain Kampung Sungkap Para,YBhg. Dato' juga mempunyai banyak aturcara ditempat-tempat lain sempena Deepavali ini.Walaupun keletihan namun itu bukan alasan kerana menurut beliau adalah menjadi tanggungjawab beliau sebagai pemimpin untuk bersama rakyat,"jika tidak boleh beri komitmen untuk rakyat lebih baik jangan jadi pemimpin" katanya.




Jumaat, 14 Oktober 2011

Sultan Kedah Diisytihar Yang Di-Pertuan Agong Yang Baru.



Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuat kuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini.

                                  Daulat Tuanku,Daulat Tuanku,Daulat Tuanku!!

10 Artis Sertai Pergerakan Pemuda UMNO.


Seramai 10 artis semalam menyerahkan borang keahlian menyertai Pergerakan Pemuda UMNO.

Mengetuai penyerahan borang keahlian kepada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin di pejabat Pemuda UMNO di sini ialah Timbalan Presiden Seniman, Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.

Antara yang menyertai pergerakan itu ialah Rashdan Baba, Ezani Nizarif dan Haris Kool dan penyanyi Adam AF.


Zed Zaidi berkata, penyertaannya dalam parti itu adalah sebagai menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam program “Jom Masuk UMNO”.

Pelakon itu yakin corak kepimpinan Perdana Menteri akan melahirkan generasi pelapis yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara termasuk industri hiburan. - Bernama

'Projek' Pagi Jumaat.


En. Hashim.
Hari jumaat di negeri Kedah adalah hari cuti,namun bagi En. Hashim Abdullah,Pengerusi JKKKP Sungai Lalang,Sungai Petani,hari jumaat merupakan hari untuk meninjau masalah penduduk.


Menurut En. Hashim, yang mengetuai rombongan JKKKP bagi melawat serta meninjau permasalahan yang dialami penduduk sekitar sungai Lalang di Sungai Petani,aktiviti seperti ini memang diadakan pada setiap pagi Jumaat sekiranya tiada program lain pada hari itu,bertujuan mengambil tahu dan melihat bagaimana cara yang kita boleh membantu menyelesaikan permasalahan penduduk.


Antara rumah-rumah yang biasa diberikan tumpuan ialah rumah-rumah rakyat kita yang susah,yang sedang menghadapi masalah,yang sedang mengalami kesulitan hidup,sambil kita bertanya khabar dan mengambil tahu apa masalah mereka atau apakah kesusahan yang sedang dialami mereka ketika itu,katanya.


Menurutnya lagi,jika ada masalah yang boleh diselesaikan akan diselesaikan manakala yang lain akan dibawa kepengetahuan Penyelaras Parlimen Merbok,YBhg Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain untuk tindakan lanjut.

Rombongan JKKKP tinjau masalah.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Terus Menyemai Bakti.


Kamarudin Mohd Idrus hari ini menerima kunjungan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Merbok, Dato' Mohd Zubir Sh. Saad yang mewakili Ketua UMNO Bahagian,YBhg. Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain bagi menyampaikan bantuan  yang telah dijanjikan kepada beliau pada lawatan terdahulu.


Dalam lawatan terdahulu,YBhg Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain yang juga Penyelaras Parlimen Merbok telah meluluskan bantuan segera sebanyak RM 1,000 kepada keluarga tersebut yang terpaksa bergantung hidup kepada ehsan jiran tetangga setelah Kamarudin tidak lagi mampu bekerja. 


Kamarudin Mohd Idrus yang mengalami kemalangan motosikal pada 1997, pernah beberapa kali menjalani pembedahan pada lutut kiri.Namun, sejak awal 2011,lutut kiri beliau kembali sakit hingga menyukarkan pergerakan.

walaupun boleh bergerak menggunakan tongkat,beliau tidak dapat lagi bekerja bagi mencari nafkah.Lebih malang lagi,isteri beliau Puan Habsah Zainol juga terlantar kerana masalah hati bernanah akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu.

Bantuan tersebut adalah merupakan tindakan segera bagi membela nasib kamarudin sekeluarga sementara menunggu tindakan selanjutnya dari pihak Ybhg. Dato' bersama Jabatan kebajikan Masyarakat.

Menunaikan amanah,Dato' Zubir menyampaikan bantuan. 

Khamis, 6 Oktober 2011

Sewa Pesawat RM9 Juta,Apa Hasilnya?



Nurul Izzah bertanya di parlimen berapakah jumlah penyewaan Airbus A319 untuk digunakan PM. Jawapan daripada Nazri Aziz ialah sebanyak RM 9.1 juta meliputi 155 sektor dalam dan luar negara.


Sebelum kita membuat persepsi salah terhadap Perdana Menteri mari kita tengok berapa banyak pelaburan yang masuk ke Malaysia hasil daripada sewaan kapal terbang yang berjumlah RM9.1 juta itu..
                                                                                         KLIK DI SINI.

Rabu, 5 Oktober 2011

Senyuman Tun Mahathir Dan Wartawan British Yang Menyesal.


Agak-agak berani lagi ke diaorang nak panggil Tun?Semoga Allah sentiasa memelihara Tun Mahathir.Terlalu banyak jasanya pada negara ini dan juga Islam.

Selasa, 4 Oktober 2011

Akhir Sebuah Penantian..



Penantian lebih 10 tahun penduduk Taman Peruda,Sungai Petani untuk melihat sebuah masjid dibina di kawasan perumahan mereka  berakhir hari ini  apabila kerajaan pusat bersetuju memperuntukkan Rm 2.5 juta bagi membina masjid itu.

Masjid yang berkeluasan 1524 kaki persegi itu akan dibina dengan kos rm 3 juta termasuk Rm 500 ribu yang berjaya dikumpul oleh Jawatankuasa Pembinaan Masjid,mampu memuatkan sehingga 1500 jemaah pada satu-satu masa.

Majlis penyerahan surat setuju terima tender projek kepada kontraktor yang telah dilantik oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kedah yang diadakan pada malam ini turut dihadiri Pegawai Kemajuan Negeri Kedah,Dato' Azmi B. Lateh serta Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Taman Peruda,Dato' Mad Jali B. Lateh bersama kira-kira 1000 penduduk kariah Taman Peruda.



Dato’ Mad Jali dalam ucapannya menyifatkan majlis penyerahan surat setuju terima tender pada malam ini sebagai satu titik sejarah yang amat besar bagi Taman Peruda kerana masjid yang bernilai Rm 3 juta ini telah diimpikan oleh penduduk Taman Peruda sejak kira-kira 12 tahun lalu.Menurutnya lagi penduduk awal di Taman Peruda telah membayangkan untuk membina masjid ini sejak begitu lama namun  hanya sejak 5 tahun kebelakangan ini pihak masjid telah menubuhkan pelbagai jawatankuasa termasuk jawatankuasa pembinaan masjid  dan jawatankuasa dana untuk mencari sumber kewangan bagi membina masjid ini.


"Alhamdulillah dengan sokongan Ybhg. Dato’ Hj. Tajul Urus selaku Penyelaras Parlimen Merbok, kita telah berjaya memungut wang samada dari dana tempatan dan Rm 2.5 juta atas kelulusan yang kita pergi jumpa sendiri pada Y.A.B Timbalan Perdana Menteri  Malaysia,Tan sri Hj.Muhyidin Hj.Mohd Yassin yang telah secara terus apabila kita membawa surat permohonan itu,meluluskan Rm 2.5 juta"katanya.



YBhg. Dato' Hj. Tajul Urus pula ketika ditemubual pihak media menyatakan kariah Masjid Taman Peruda akan melibatkan 3 buah surau iaitu surau Taman bandar Baru PKNK,surau Taman Peruda fasa 1 dan surau Taman Peruda fasa 2 dan tapak Masjid ini adalah terletak di Taman Peruda fasa 1.


Beliau juga menjelaskan,Taman Peruda adalah antara taman terawal di Sungai Petani yang mana sebelum ini terletak didalam kariah Masjid Kampung Raja sebelum dipisahkan dari kariah tersebut.Manakala bagi tahun ini pula menurut Dato' Tajul lagi, Masjid Taman Peruda adalah yang ke 2 selepas Masjid Bandar Laguna Merbok yang penyerahan surat setuju terima tender pembinaannya diadakan pada bulan Ramadan lalu.Pada masa ini Masjid tersebut masih dalam pembinaan.


Isnin, 3 Oktober 2011

Majlis Sumbangan Jemaah Haji.


 

"Saya meminta supaya tuan-tuan dan puan-puan mendoakan agar rakyat negara kita yang tercinta ini dapat hidup aman makmur serta mendoakan supaya pemimpin negara diberi hidayah untuk memimpin umat dan dapat terus membela dan menegakkan serta memperkasakan syiar islam di Malaysia".


Demikian Permintaan Ybhg Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain kepada bakal jemaah haji semasa menyampaikan sumbangan untuk jemaah haji 2011 di masjid Sungai Lalang,Sungai Petani dimana seramai 170 orang bakal haji dari Parlimen Merbok hadir untuk bertemu serta menerima sedikit sumbangan daripada beliau.

Dalam sesi yang penuh kemesraan itu YBhg. Dato' juga turut berkongsi pengalaman beliau semasa berada di  Tanah Suci Mekah untuk menunaikan Ibadat Haji dan juga Umrah.Antara lain beliau berpesan supaya jemaah haji kerap minum air tanpa perlu menunggu dahaga. "Bagi saya yang berpengalaman 2-3 kali pergi tu,'ayaq' saya minum tak tunggu dahaga dah,minum saja".katanya.

Beliau juga berkata kunci utama kepada kesempurnaan ibadah haji adalah kesihatan maka itu jagalah kesihatan semasa berada di sana sambil memberitahu beberapa barang yang patut dibawa bagi menghadapi cuaca yang mungkin berbeza.

Walaupun haji diletakan sebagai rukun yang ke 5 dalam Rukun Islam,tetapi sebagai seorang islam kita rasa tidak sempurna jika kita tidak mengerjakan haji.Malah katanya lagi orang yang pergi haji pertama kali pun tidak akan puas hati dan kalau boleh nak pergi setiap tahun.Kegembiraan itu hanya orang yang telah pergi sahaja yang dapat merasa kerana itu,kita tidak perlu marah kepada mereka yang telah pun pergi haji tetapi masih mendaftar untuk pergi sekali lagi.


"Kita rasa pergi haji ni sekali pun dah cukup,tapi sebenarnya tidak,bagi orang yang ada kemampuan dia kira setiap tahun berebut nak pergi,cuma kuota yang diberi kepada negara kita oleh kerajaan Arab Saudi tidak mengizinkan kerana perlu memberi peluang kepada orang lain untuk pergi".ujarnya.

Beliau seterusnya mendoakan semoga bakal jemaah selamat pergi,selamat menyempurnakan ibadat haji dan selamat kembali.Beliau turut menekankan bahawa penting dalam menunaikan ibadah haji ini ialah keikhlasan kerana keikhlasan inilah yang akan menyempurnakan ibadah haji kita.



Sementara itu sebelum berada di majlis tersebut,YBhg. Dato Hj. Tajul Urus Mat Zain telah menghadiri majlis bacaan Yassin di masjid Al-Mutaqqin di Bujang.
Majlis bacaan Yassin itu turut disertai kira-kira 500 pelajar,waris serta guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bujang.Seorang guru,Ustaz Mohd Asri berkata,majlis itu bertujuan mendoakan kejayaan para pelajar sekolah berkenaan yang bakal menghadapi peperiksaan PMR,SPM dan STPM tidak lama lagi.

Hanya Menumpang Ehsan Jiran.




Kamarudin Mohd Idrus,mengalami kemalangan motosikal pada 1997 dan pernah beberapa kali menjalani pembedahan pada lutut kiri.Namun sejak awal 2011,lutut kiri beliau kembali sakit hingga menyukarkan pergerakan.


walaupun boleh bergerak menggunakan tongkat,beliau tidak dapat lagi bekerja bagi mencari nafkah.Lebih malang lagi,isteri beliau Puan Habsah Zainol juga terlantar kerana masalah hati bernanah akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu.


 Ditanya tentang sara hidup Kamarudin berkata, ketika ini mereka hanya menumpang ehsan jiran sekampung yang perihatin akan masalah keluarga itu.Menurutnya lagi 4 orang anaknya masih bersekolah manakala anak sulong yang berusia 21 tahun masih belum bekerja dan dialah yang menjaga kami,katanya.


Kamarudin menceritakan kesusahannya itu ketika kunjungan Penyelaras Perlimen Merbok,YBhg. Dato' Hj. Tajul Urus Mat Zain ke rumahnya baru-baru ini.



Sebagai tindakan segera,YBhg. Dato' mengarahkan pegawai kebajikan beliau untuk memberi bantuan permulaan sebanyak seribu ringgit bagi meringankan beban mereka sementara menunggu tindakan susulan.YBhg, Dato' juga berkata,beliau akan berusaha mendapatkan sebuah motosikal roda tiga yang diperlukan Kamarudin untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Selasa, 27 September 2011

"Disatu masa kita akan kembali bersatu dan teguh”.


"Berpantang maut sebelum ajal".tegas dan bersemangat,itulah dia,Yang Dipertua Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia(PSSPGM),Dato' Raja Abd Majid Raja Mat Isa.Beliau yang kini berusia 72 tahun merupakan pengasas kepada pertubuhan itu yang pada hari ini mempunyai hampir 1 juta ahli dengan beratus gelangangnya berada di serata malaysia,Singapura,Indonesia dan ramai yang tidak mengetahui pertubuhan ini juga mempunyai gelangang di Amerika Syarikat. 

Gelanggang utama atau juga lebih dikenali sebagai Gelangang Pusat terletak di Kampung Guar nenas,Gurun kedah.Gelangang ini merupakan pusat latihan tertinggi PSSPGM dimana ahli-ahli yang berguru di gelangang lain juga akan datang ke sini untuk menamatkan perguruan.






Diceritakan bahawa' Gayong',adalah nama seorang hulubalang melayu yang teragong.Beliau berpegang teguh pada amanah dan perintah Allah.Seterusnya melahirkan  seni  gayong.


Seni gayong tujuh hulubalang,Kisah 7 hulubalang adik-beradik belayar di lautan tujuh.Mereka berpantun ditengah lautan,”Pecah gayong didalam dulang,dulang hanyut di lautan tujuh,Perpecahan gayong perpecahan sayang,disatu masa kita akan kembali bersatu dan teguh”.



Mereka berpecah di seluruh tanah besar melayu.Hulubalang tersebut adalah Daeng Jalan,Daeng Celak,Daeng Merewak,Daeng mempawah,Daeng Telani,Daeng Pelonggi dan Daeng Kuning.Pada 1511 Masihi,Portugis telah berjaya menawan Melaka,menyebabkan sultan Mahmud serta pengikutnya terpaksa melarikan diri masuk kedalam hutan.Semasa didalam hutan,mereka telah bertempur dengan Portugis mengunakan batang kayu,buluh,rotan dan lain-lain lagi.Berperang dengan senjata ini dinamakan ‘Bergayong’.Dari sinilah gayong tercipta.Pada zaman tersebut,ada seorang pemuda yang bernama Gayong yang tinggal berhampiran dengan hutan.Kerja sehariannya ialah mengumpul hasil hutan seperti damar,rotan,sarang burung dan lain-lain lagi.Semasa didalam hutan Gayong gemar melihat  haiwan-haiwan seperti  musang,ayam,harimau dan haiwan lain mempertahankan diri mereka daripada musuh yang menyerang.Dari situ,Gayong telah mengaplikasikan gerakan haiwan-haiwan itu lalu terciptalah seni gayong.

Kewujudan Gayong Di Malaysia,
Seni gayong ditubuhkan pada tahun 1983 oleh Dato’Daeng Uda Mohammad Hashim bersama anak-anaknya iaitu Daeng Meor abd Aziz dan Daeng Meor Abd Rahman(Pak Guru Dato’ Meor Abd Rahman)Berpusat di Ayer Kuning,Taiping,Perak.Dato’ Meor abd Rahman merupakan keturunan salah seorang Bugis 7 bersaudara(Daeng Kuning atau Panglima Hitam).Panglima Hitam merupakan moyang kepada Dato’ Meor.Beliau mempelajari seni silat ini dari  daripada datukya iaitu Syed Zainal samasa berusia 11 tahun(1928).semasa muda,beliau banyak menghabiskan masa dengan menjelajah ke seluruh Tanah Melayu terutamanya di sempadan siam.semasa berumur 19 tahun,beliau telah mempertontonkan kebolehannya dalam bersilat.Beliau diberi gelaran ‘Panglima Sendo’ oleh sultan perak.Pada bulan April 1957 Abd Majid Mat Isa menyertai seni silat gayong.Berlatih dengan 'Guru Latih' Ismail Mansor selama setahun.Pada tahun 1959,Dato’ Meor Abd  Rahman bersama Dato’ Onn Jaafar dan ketua-ketua seni silat gayong Singapura dan johor membuat lawatan ke Kedah dan membawa Abd Majid Mat Isa ke singapura untuk menjalani latihan selama setahun di Pusat Latihan Seni Silat Gayong Singapura.Pada tahun 1960’Abd Majid Mat Isa dilantik menjadi Guru Latih,seterusnya menjadi 'Guru Latih' di Kedah,Perlis dan Pulau Pinang.Pada tahun 1963 Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia didaftarkan  dan diluluskan dengan nombor pendaftaran 361 di Johor Bahru atas nama Dato’ Onn Jaafar.Pada Ogos 1977,Abd Majid Mat Isa telah dipecat daripada menjadi Guru Latih Tertinggi oleh Dato’ Meor.”Disebabkan fitnah,gila kuasa,gila pangkat dan inginkan kemewahan,ada antara guru latih yang tidak beramanah telah membuat fitnah kepada saya” katanya.


Pada April 1978,Pertubuhan Seni silat Pusaka Gayong Malaysia ditubuhkan dengan nombor pendaftaran 1756.Pada mulanya hanya 6 cawanagan ditubuhkan iaitu 5 di Kedah dan 1 di Perlis dengan ahli seramai 200 orang.Pertubuhan ini bergerak dengan baik hingga sekarang.



Pada hari ahad(25/9/2011)yang lalu,Pertubuhan ini telah mengadakan 'Majlis Raya Merdeka Pusaka Gayong' yang dianjurkan oleh 'Belia Panji Lekir', iaitu satu kumpulan yang diketuai anak kelima Dato' Raja Abd Majid iaitu Sham Putra atau lebih dikenali sebagai Lekir dikalangan penuntut.

YBhg. Dato'Hj.Tajul Urus Mat Zain bersama Penyelaras Parlimen Jerai,YBhg. Dato'Suhaimi Abdullah yang merupakan 'Penasihat Waris-Waris Beradad' kepada PSSPGM dan juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah,YBhg.Dato' Latt Shariman Bin Abdullah telah menghadiri majlis tersebut sebagai tetamu kehormat.Turut serta ADUN Gurun,Yb. Dr. Leong Yong Kong,Mantan ADUN Bukit Selambau,Dato' V.Saravanan serta beberapa kenamaan  lain termasuk vvip dari PSSPGM sendiri.

YBhg.Dato' Hj. Tajul Urus

YBhg.Dato' Suhaimi Abdullah


Bersama YBhg.Dato' Latt Shariman

Majlis itu dimeriahkan dengan pertunjukan silat pelbagai kategori oleh penuntut yang memukau mata penonton yang semakin lama semakin ramai memenuhi kawasan gelanggang.Antara pertunjukan menarik adalah pertunjukan tempur parang.


Adik Saiful Imran,baru pulang dari sarawak kerana menyertai pertandingan  silat sekolah-sekolah peringkat kebangsaann.


"Kalau kail panjang sejengkal,lautan dalam jangan diduga."


Lemang,antara juadah disediakan.


    **Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) lahir daripada kata sepakat anak-anak Gayong Kedah Darulaman yang mana tidak mempunyai pilihan selain mendaftar pertubuhan silat ini pada tahun 1978 setelah kewibawaan Guru Kanan(Tertinggi) Gayong Malaysia pada masa itu, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa telah difitnah mengarahkan suatu kutipan bayaran dari setiap anak-anak Gayong negeri Kedah, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan dengan menggunakan nama Allahyarham Dato' Mahaguru. Dalang yang menyebar fitnah tersebut terdiri daripada bekas-bekas anak murid Cikgu Abdul Majid sendiri. Dato' Meor Abdul Rahman selaku Mahaguru Gayong Malaysia merestui PSSPGM malah pernah menyatakan bahawa sekiranya ingin belajar lebih lanjut bolehlah ke Gurun (gelanggang pusat PSSPGM). Ini kerana keseluruhan silibus Gayong berdasarkan ilmu yang diperolehi daripada Dato' Meor Abd. Rahman adalah disusun dan ditambah oleh pihak Cikgu Abd Majid Mat Isa (Guru Utama PSSPGM) dan Cikgu Awang Daud (Gurulatih Kanan PSSPGM).


Namun, yang benar tetap terbela atas dasar berani kerana benar. Atas dasar tersebut, hubungan pihak sesama Gayong tidak pernah putus walaupun berbeza pentadbirannya. Malah kebanyakan gelanggang Gayong membuka latihannya kepada ahli Gayong yang bukan di bawah naungan yang sama. Ini jelas menunjukkan bahawa perpecahan Gayong sememangnya suatu perpecahan sayang.
Yang benar akan dipelihara Tuhan, yang bersalah lambat laun menerima balasan. Bagi anak-anak Pusaka Gayong, peristiwa itu membangkitkan kesedaran agar tidak berulang buat kali kedua. 33 tahun berlalu, Pusaka Gayong tetap berdiri gagah di atas kaki sendiri dan kini mempunyai cawangan di seluruh Malaysia samada bergelanggang di kampung, masjid, sekolah dan termasuk di Institut Pengajian Tinggi. Sumbangan PSSPGM kepada perkembangan silat di Malaysia sememangnya tidak dapat dinafikan malah banyak kali memenangi anugerah-anugerah dan pingat di peringkat antarabangsa.  
 "Saya tetap menganggap peristiwa pemecatan saya dari Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia sebagai suratan takdir. Tidak perlu saya sebut nama dalang yang sengaja menconteng arang di muka saya. Walaupun begitu hubungan saya dengan Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman tetap mesra. Pusaka Gayong bukan hak saya atau negeri Kedah tapi hak keturunan bangsa Melayu yang dipusakai dari pahlawan Melayu dahulukala terutama(nya) keturunan Meor Abdul Aziz. Jasanya mengembangkan Silat Seni Gayong di negeri-negeri di bahagian Utara tetap dikenang hingga ke akhir hayat. Allahyarham juga membawa anak-anak Gayong Kedah ke Taiping untuk menerima ujian dan ijazah kebatinan daripada ayahandanya Daeng Uda Mohd.Hashim sambil dibantu oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman." -Ayahnda Dato' Abd Majid Mat Isa
Sebagaimana dulu dan kini, kesemua pihak ketahui bahawa Pusaka Gayong bukanlah tertubuhnya kerana siapa mahukan kuasa atau menafikan hak Dato' Meor sebagaimana Gayong PASAK didaftarkan. Tetapi adalah cemburu dan dengki itu menjadi darah melayu. Sehingga kini, setiap kali Perlimau Tapak,adalah menjadi tradisi kami sumpah dan ikrar kami adalah sebagai Anak SILAT SENI GAYONG.. bukan Pusaka Gayong, Gayong Malaysia atau PASAK dan sebagainya. Ini kerana pihak kami tidak pernah menafikan bahawa keturunan Meor Abdul Aziz dan Meor Abdul Rahman sebagai pemegang hak Gayong atau Silat Sendi Harimau ini.